Kilang perindustrian punca Sungai Batang Benar berbuih, bau sabun - Utusan Malaysia

Kilang perindustrian punca Sungai Batang Benar berbuih, bau sabun

KEADAAN Sungai Batang Benar, Negeri Sembilan yang berbuih dan berbau sabun itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pelepasan oleh premis kilang perindustrian dipercayai punca penemuan air berbuih dan berbau sabun di Sungai Batang Benar, Negeri Sembilan semalam.

Perkara itu dikesan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yang mengambil tindakan lanjut selepas menerima maklumat daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, kira-kira pukul 8 malam tadi.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian berkata, pemeriksaan mendapati keadaan sungai masih berbuih dan berbau di lokasi berkenaan.

Katanya, pemantauan statik LUAS di hilir kawasan Selangor iaitu Sungai Semenyih dan Sungai Buah mendapati keadaan adalah normal dan tiada bau dikesan.

“Namun, Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) memaklumkan pencemaran bau sehingga empat ton dikesan di muka sauk Jenderam Hilir pukul 11 malam tadi.

“Operasi loji rawatan air (LRA) Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa dihentikan sementara manakala pemantauan statik dipertingkatkan kepada setiap 30 minit bagi memantau rapi status pencemaran bau itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Loy Sian, pemantauan kemudian merekodkan bacaan 0 ton yang konsisten dan tren penurunan pencemaran bau.

“Kedua-dua LRA itu masing-masing beroperasi semula pukul 1.30 pagi dan 8 pagi tadi. 

“Gangguan bekalan air adalah minima dan kawasan terlibat telah pulih sepenuhnya pukul 9.30 pagi tadi,” ujarnya. 

Tambah beliau, pelepasan air berbuih di Sungai Batang Benar disyaki berlaku  petang semalam ketika hujan lebat. 

“LUAS memaklumkan kepada JAS Selangor untuk tindakan susulan berikutan lokasi insiden itu berada di luar  negeri ini dan melibatkan kawasan perindustrian. 

“Kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan jenayah pencemaran sumber air dan tindakan tegas akan diambil selaras peruntukkan Enakmen LUAS 1999,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya