Kerajaan tanggung kos gaji wanita cuti bersalin

Kerajaan tanggung kos gaji wanita cuti bersalin

SEKTOR perhotelan dikatakan antara yang bakal menerima impak besar susulan pelaksanaan Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) bermula Januari ini. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu meneliti semula dengan menambah opsyen tertentu terhadap penambahan cuti bersalin sehingga 98 hari yang dikan­dung dalam Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) supaya lebih adil dan tidak membebankan majikan.

Pengarah Eksekutif Persatuan Pemilik Hotel Malaysia (MAHO), Shaharuddin M Saaid berkata, sekiranya mahu dilaksanakan, pendapatan pekerja wanita itu perlu dipertimbangkan untuk tidak dibayar atau dibayar dengan peraturan-peraturan tertentu.

“Di barat, mereka beri cuti bersalin sehingga enam bulan, tetapi gaji dibayar oleh kerajaan. Jadi jika mahu laksanakan di Malaysia, mungkin tidak perlulah sampai kerajaan kena bayar penuh, tetapi mungkin boleh dipertimbangkan beberapa pe­ratus tertentu.

“Tetapi kalau semua majikan yang perlu tanggung, kita pun meniaga tak pulih lagi, jadi macam mana kita mahu laksanakan kerana kos operasi kita meningkat,” katanya.

Beliau berkata, jika tidak ada pilihan, majikan mungkin terpaksa mengurangkan pengambilan pekerja wanita.

“Hotel adalah sektor yang memberikan perkhidmatan, jadi kalau banyak sangat perempuan diambil bekerja dan tempoh cuti bersalin lama, maka ia akan mengganggu tempoh operasi.

“Pembayaran gaji dalam tempoh cuti bersalin itu juga akan menyebabkan majikan terpaksa menanggung kos operasi yang lebih tinggi,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dalam pada itu, Presiden Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, pemanjangan cuti bersalin itu dilihat akan menimbulkan isu berkaitan pengambilan pekerja sementara untuk menampung kekosongan yang ditinggalkan pekerja wanita.

Bagaimanapun, ia bukanlah sehingga menimbulkan diskriminasi terhadap golongan tersebut terutama dalam pengambilan pekerja.

“Di negara ASEAN lain, kerajaan menanggung kos pekerja wanita yang cuti bersalin melalui sistem keselamatan sosial mereka .

“MEF berharap kerajaan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) danSistem Insurans Pekerja (EIS) dapat menanggung kos pekerja wanita yang cuti bersalin dan kos cuti paterniti untuk para suami,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN