PETALING JAYA: Kerajaan diminta memastikan bekalan barang keperluan asas bagi rakyat terutamanya golongan B40 mencukupi meskipun dijangka berlaku kenaikan harga tahun hadapan sejajar masalah ekonomi global.
Pakar ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob, berkata, kerajaan perlu memastikan barangan keperluan asas bagi golongan B40 terus terjamin.
Menurut beliau, kerajaan melalui menteri-menteri yang dilantik hendaklah sentiasa peka dengan situasi semasa keperluan barangan asas bagi mengelakkan kenaikan harga mendadak.
“Golongan B40 mengharapkan makanan asas seperti tepung, gula, minyak masak dan telur ayam sentiasa ada di pasaran kerana itu keperluan mereka.
“Rakyat tidak akan mengadu sekiranya barang asas mudah didapati memandangkan itu keperluan buat ahli keluarga mereka biarpun harganya dinaikkan sedikit,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kata beliau, biarpun berlaku kenaikan harga, kerajaan diharap memastikan kenaikan harga barang asas tidak melebihi 10 peratus hingga membebankan mereka.
Abu Sofian juga meminta kerajaan sekarang melihat bagaimana pengurusan kerajaan terdahulu sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di mana barang-barang asas mudah diperoleh dan sentiasa mencukupi.
Oleh itu, kata beliau, kerajaan perpaduan perlu peka dalam semua situasi membabitkan rakyat sekali gus membuktikan kerajaan baharu ini benar-benar mampu menyelesaikan masalah mereka.- UTUSAN










