MELAKA: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh tidak mahu mengulas lanjut spekulasi peletakan jawatan Ketua Menteri Melaka Ke-13 yang didakwa bakal berlaku awal Januari.
“Penat (jawab) soalan yang sama. CM (Ketua Menteri) dah jawab,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara berkata, tiada keperluan untuk berbuat demikian selepas Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali menafikan perkara tersebut.
Terdahulu, Sulaiman menafikan buat kali kedua isu tersebut selepas khabar angin sama bertiup kencang Mei lalu.
“Tidak betul,” katanya ringkas ketika dihubungi.
Sebelum ini, sebuah akhbar berbahasa Cina melaporkan, Sulaiman akan meletak jawatan pada 3 Januari depan untuk memberi laluan kepada Ab. Rauf.
Menurut laporan itu lagi, pertukaran tersebut akan menyaksikan perubahan dalam barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang mana tiga orang akan digugurkan.
Malah, selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tahun lalu, jawatan nombor satu Kerajaan Melaka itu terus menjadi perhatian banyak pihak termasuk tindakan Sulaiman yang juga ADUN Lendu mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri pada pukul 1 pagi.
Pada 12 Mei 2022, Utusan Malaysia melaporkan, Sulaiman akhirnya bersuara menjernihkan keadaan setelah hampir seminggu kerajaan negeri dilanda spekulasi pemaksaan peletakan jawatan Ketua Menteri.
Baru-baru ini, dalam ucapan penggulungan penangguhan Perbahasan Usul Bajet Melaka 2023 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Sulaiman memberi kiasan jawatan tidak kekal abadi, bukan milik seseorang dan apabila tiba masanya ada pihak yang akan meneruskan jawatan itu.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan ucapan sedemikian ditujukan kepada siapa. – UTUSAN










