Hentikan politik berbaur ancaman

Hentikan politik berbaur ancaman

SAIFUDDIN Nasution Ismail (dua kanan) menyerahkan replika bot kepada Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad pada lawatan kerja di IPD Kulim. -UTUSAN/MOHD RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Kenyataan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim kononnya terdapat usaha dilakukan bagi memastikan Kabinet sedia ada tidak bertahan lama hanya menyerlahkan sikap beliau serta gabungan diwakilinya yang tidak habis-habis berpolitik. 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kenyataan sedemikian tidak seharusnya dikeluarkan ketika rakyat telah letih dengan permainan politik berpanjangan serta masih terkesan dengan pandemik Covid-19. 

Justeru, katanya, ahli politik perlu berhenti mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan keresahan serta menambah keletihan rakyat, ketika kerajaan kini fokus kepada usaha untuk melaksanakan tugas-tugas yang sepatutnya dilaksanakan demi kebaikan bersama. 

“Masih ada terlalu banyak kerja yang menanti kita. Lagi pun Sidang Parlimen akan berlangsung pada 19 Disember nanti dan kita telah membuat kenyataan terbuka bahawa satu sesi undi percaya akan dikemukakan di situ. 

“Jadi kita selesaikan semua itu di Parlimen sajalah kerana itu lebih bijaksana dan molek. Cukup-cukuplah berpolitik berbaur ancaman dan sebagainya,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim di sini, hari ini. 

Pada majlis itu beliau menyerahkan dua buah bot penyelamat kepada IPD Kulim serta beberapa komputer kepada IPD Bandar Baharu dan Jabatan Sukarelawan Rakyat (Rela) Kulim. 

Beliau mengulas kenyataan Shahidan yang memaklumkan bahawa terdapat usaha dilakukan supaya Kabinet tidak bertahan lama bagi membolehkan Perikatan Nasional (PN) kembali memerintah. 

Ditanya mengenai gelaran kerajaan zina serta luar tabii dilemparkan calon PN Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin serta Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor terhadap kerajaan Persekutuan, Saifuddin berkata perkara sedemikian tidak perlu dilayan. 

“Kalau nak dilayan istilah semantik dan sebagainya itu tak habis kerja kita. Di pihak kerajaan pun, kami tak akan benarkan kerajaan baharu ini untuk terpesong dengan hal-hal picisan seperti itu. 

“Fokus kita hanya kerja kerana kita punya tugas serta amanah cukup besar seperti dinasihatkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Di pihak pembangkang, mereka boleh gunakan apa jua istilah tetapi di pihak kami, fokus hanya pada kerja,” katanya. 

Menyentuh kenyataannya dalam ceramah yang menyatakan Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Padang Serai, Datuk C. Sivaraj layak diberikan tempat dalam kerajaan baharu, Saifuddin yakin bahawa perkara itu tidak melanggar sebarang undang-undang pilihan raya. 

“Telah dijelaskan bahawa penarikan diri Sivaraj tanpa apa-apa syarat, sama seperti mana Pakatan Harapan (PH) di Tioman menarik diri. Saya bukannya mengatakan kalau kami tarik diri, kami akan beri sesuatu. 

“Tak berlaku kenyataan seperti itu sebaliknya sudah jelas bahawa tindakan BN tarik diri di Padang Serai tanpa apa-apa syarat seperti di Tioman. Logiknya kalau sudah bergabung jadi kerajaan, buat apa lagi bertembung dan tak perlulah mana-mana pihak membuat andaian bukan-bukan,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya