PETALING JAYA: Para pemimpin di negara ini diminta berhenti membangkitkan isu perkauman atau agama dengan tujuan menghasut rakyat hingga boleh mencetuskan ketidakselesaan antara masyarakat berbilang kaum.
Ia merupakan antara perkara yang diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Raja-raja Ke-260 yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Baginda juga bertitah supaya kerajaan baharu memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat pelbagai agama, bangsa dan budaya di Malaysia.
“Beta berharap supaya tiada lagi pemimpin yang membangkitkan isu perkauman atau agama dengan tujuan untuk menghasut masyarakat.
“Beta turut menggesa agar kerajaan baharu menggunakan peluang yang ada sebaik-baiknya untuk memacu negara ke tahap yang lebih tinggi.
“Semoga Allah S.W.T melimpahkan keamanan dan kemakmuran kepada Malaysia, dan semua rakyatnya terus diberkati serta dianugerahkan kesejahteraan yang berkekalan,” titah baginda menerusi perutusan sempena mesyuarat berkenaan semalam.
Semalam adalah hari kedua mesyuarat Majlis Raja-raja ke-260 yang bermula sekitar pukul 10 pagi sebelum tamat pada pukul 12.45 tengah hari, selepas berlangsung hampir dua jam.
ISTANA NEGARA
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut berangkat ke mesyuarat yang berlangsung di Istana Negara.
Turut berangkat Sultan Perak, Sultan Johor, Sultan Selangor, Sultan Kedah, Raja Perlis, Pemangku Raja Pahang dan Tengku Mahkota Kelantan.
Pada mesyuarat itu, Raja-raja Melayu diiringi Menteri Besar masing-masing, manakala Yang di-Pertua Negeri diiringi Ketua-ketua Menteri kecuali Sarawak yang diiringi Timbalan Premier.
Tuanku Muhriz menyeru, kerajaan baharu terus mendukung dan memperkukuhkan prinsip-prinsip Rukun Negara yang diisytiharkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong keempat pada tahun 1970.
Titah baginda, semua ahli parlimen yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) juga perlu melaksanakan tanggungjawab berasaskan prinsip-prinsip yang telah digariskan dalam Rukun Negara.
“Semangat dan nilai-nilai prinsip Rukun Negara seharusnya menjadi amalan semua rakyat,” titah baginda.
JAC
Dalam pada itu, Tuanku Muhriz bertitah, proses pelantikan hakim ketika ini ada kelemahan dan boleh diperbaiki terutamanya melalui Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang memainkan peranan utama dalam mengemukakan pelantikan hakim.
Justeru, baginda bertitah, keanggotaan JAC adalah kritikal untuk memastikan JAC terus menjadi amalan dan pegangan semua yang berkemampuan mengemukakan nama-nama hakim yang berintegriti dan berkaliber.
“Pada masa ini, JAC mempunyai sembilan keahlian. Empat ahli JAC merupakan hakim yang sedang memegang jawatan terkanan manakala lima lagi ahlinya individu dilantik Perdana Menteri.
“Untuk memastikan JAC bebas, beta mencadangkan agar pelantikan lima ahli JAC tidak dibuat Perdana Menteri. Sebaliknya ia diberi kepada beberapa institusi lain seperti Majlis Peguam Malaysia, Persatuan Undang-Undang Sabah, Persatuan Peguambela Sarawak dan Jawatankuasa Pemilih Parlimen.
“Dengan kaedah sebegini, keanggotaan JAC lebih seimbang, dan tidak membawa kepentingan mana-mana pihak,” titah baginda.
Baginda juga mencadangkan struktur JAC dinilai semula dengan rundingan dibuat antara kerajaan, ahli-ahli JAC sedia ada dan badan-badan guaman serta institusi atau pemegang taruh lain yang relevan.
“Sekiranya semua ini dilaksanakan, beta yakin JAC akan mampu menjalankan tanggungjawabnya dengan lebih berkesan dan menjadikan pemilihan serta pelantikan hakim-hakim dari kalangan individu berkeperibadian mulia, telus dan adil,” titah baginda.- UTUSAN










