PETALING JAYA: Pengerusi DAP, Lim Guan Eng sedia berkhidmat dalam apa jua kapasiti di dalam kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Bagan itu berkata, kesanggupannya itu selagi memenuhi kepentingan negara dalam konteks lebih besar supaya kerajaan terus berfungsi dan kekal stabil daripada pihak pelampau yang cuba melemah dan menjatuhkannya.
Bekas Setiausaha Agung DAP itu berkata, persoalan sama ada beliau mendapat jawatan dalam Kabinet atau sebaliknya adalah soal kedua berbanding memastikan masa hadapan negara tidak ‘dicuri’.
“Pakatan Harapan layak berada dalam kerajaan selepas memenangi kerusi terbanyak dan undi popular terbesar pada Pilihan Raya Umum Ke-15.
“Bersama-sama dengan BN (Barisan Nasional) dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak, kerajaan perpaduan ini mempunyai majoriti yang jelas mewakili kehendak rakyat bukan sahaja buat satu kumpulan tetapi setiap rakyat Malaysia yang berbilang bangsa ini.
“Ini adalah kerajaan perpaduan Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Pagi ini, Anwar tiba di Istana Negara dipercayai mempersembah senarai barisan Jemaah Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Beliau dijangka mengumumkan sebahagian daripada anggota Kabinet hari ini selepas mlakukan lawatan ke kawasannya di Tambun, Perak.
Anwar semalam memaklumkan perbincangan mengenai pelantikan barisan Kabinet kerajaan perpaduan hampir selesai dan berharap dapat diumumkan dalam masa terdekat– UTUSAN










