KUALA LUMPUR: Dua pemimpin tertinggi parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan perlu diberi ‘nafas’ memimpin parti bagi memperbaiki kelemahan, seterusnya fokus dalam mendepani cabaran politik masa akan datang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkata, ia suatu langkah yang relevan buat masa kini supaya survival UMNO terus dipelihara, sekali gus mengelakkan perpecahan dalaman yang mampu menjejaskan parti itu.
Katanya lagi, dalam hal ini, sokongan daripada cawangan dan bahagian amat diperlukan dalam menjayakan usaha tersebut.
“Langkah itu relevan. Apa lagi dalam suasana sekarang selepas kekalahan dalam PRU15 yang lalu.
“Malah, tidak ada keperluan untuk dua jawatan utama iaitu Presiden dan Timbalan Presiden ditandingi. Parti perlu diperkukuhkan. Presiden dan timbalannya sekarang satu gandingan yang baik untuk memulihkan UMNO.
“Sokongan diperlukan dari cawangan dan bahagian untuk mengekalkan Presiden dan Timbalannya dalam pemilihan tahun hadapan. Bukan kerana Zahid dan Mohamad Hasan tidak boleh ditandingi dan dicabar, malah mereka bersedia untuk dilawan kerana itulah proses demokrasi amalan UMNO, tapi untuk memberi nafas kepada usaha membaiki parti akibat terlalu banyak kerosakan yang berlaku sebelum PRU15,” katanya ketika dihubungi semalam.
Bagaimanapun, cadangan itu mendapat bantahan daripada beberapa pihak, antaranya Exco Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin dan juga Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz. – UTUSAN










