206 pimpinan, ahli Amanah Kedah tinggalkan parti

206 pimpinan, ahli Amanah Kedah tinggalkan parti

PHAHROLRAZI Mohd. Zawawi (duduk, tengah) dalam sidang akhbar bagi mengumumkan seramai 206 ahli Amanah yang keluar parti itu di Alor Setar, hari ini. -UTUSAN/MOHD. RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seramai 206 ahli Parti Amanah Negara (Amanah) terdiri daripada pimpinan serta aktivis yang aktif di Kedah mengambil keputusan meninggalkan parti itu sejak 29 November lalu.

Langkah itu antaranya turut disertai oleh Speaker Amanah Kedah, Kassim Mat Isa; Timbalan Speaker, Jamil Che Dan; Ketua Pemuda Negeri, Mohd. Ridzwan Arshad Ahmad serta hampir seluruh kepimpinan Pemuda Amanah negeri.

Pengumuman berhubung perkara itu diadakan di rumah bekas Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd. Zawawi yang dipecat daripada parti itu pada 30 Oktober lalu.

Menurut Phahrolrazi, langkah itu diambil setelah Amanah dilihat tidak memberi sebarang maklum balas terhadap surat dihantar 12 Ketua Kawasan Amanah di Kedah kepada kepimpinan Pusat pada awal November lalu yang meminta beliau kembali diterima sebagai ahli dan dikembalikan jawatan Pengerusi Amanah Negeri.

“Sebelum ini pun, saya pernah menyatakan bahawa tindakan memecat saya daripada parti akan memberi kesan kerana kemasukan kami ke dalam Amanah untuk menubuhkan parti ini satu ketika dulu adalah secara kabilah atau ‘en bloc’ melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Ummah Sejahtera (PasMa).

“Maka, hari ini, diisytiharkan bahawa sejumlah 206 pemimpin Amanah peringkat negeri dan kawasan di Kedah mengambil keputusan berhenti dari menjadi ahli parti. Mereka ini bersama saya sejak awal penubuhan Amanah dan sekarang mereka mengambil keputusan tersebut setelah melihat bagaimana seorang ketua dikeluarkan dari parti.

“Difahamkan, selepas ini, ada lagi ahli kawasan yang akan berhenti, tetapi, mereka tangguh dulu sementara hari pengundian Parlimen Padang Serai pada 7 Disember. Selepas itu, kita akan lihat pertambahan ahli yang akan keluar daripada menjadi ahli Amanah di negeri ini,” katanya.

Pada 30 Oktober lalu, Amanah memecat Phahrolrazi daripada parti tersebut kerana didakwa melanggar Perlembagaan parti, mengingkari keputusan parti dan melakukan perbuatan bertentangan dengan kepentingan parti berikutan tindakannya membantah keputusan kepimpinan Amanah Pusat memberi laluan kepada DAP bertanding di Jerai.  

Menyifatkan dirinya sebagai ‘kambing hitam’, Phahrolrazi selepas itu turut mempersoalkan mengapa hanya dirinya seorang yang dipecat sedangkan keputusan untuk membantah pemberian kerusi Parlimen Jerai itu kepada DAP merupakan keputusan mesyuarat perhubungan Amanah negeri.

Mengulas lanjut Phahrolrazi berkata, selepas ini, jejak langkah mereka itu dijangka dituruti ribuan ahli Amanah di negeri lain terutamanya di negeri-negeri yang memiliki ramai keahlian PasMa sebelum ini seperti Kelantan, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

“Walaupun keluar daripada Amanah, kami tetap akan berada dalam lingkungan Pakatan Harapan (PH). Kami sudah berunding bersama beberapa parti dalam PH dan keputusannya akan diumumkan nanti setelah kami diterima masuk ke parti tersebut.

“Kami akan masuk secara ‘en bloc’ dan disebabkan itu, sudah tentulah ada rundingan perlu dibuat tentang bagaimana mahu memposisikan kumpulan ini yang terdiri daripada pimpinan serta aktivis politik. Perkara ini mahu diselesaikan segera bagi memperkukuhkan PH menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) setelah keputusan PRU cukup mengecewakan sebelum ini,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya