Saingan di Jerlun hanya PN dan BN

Yang boleh ‘fight’ di Jerlun cuma PN dan BN saja -Sanusi

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERLUN: Parlimen Jerlun yang dua penggal disandang Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir merupakan salah satu kawasan yang dianggap sebagai paling cerah untuk ditawan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, Pejuang yang sekali lagi mempertaruhkan Mukhriz serta Pakatan Harapan (PH) yang diwakili calon PKR, Dr. Mohamed Fadzil Mohd. Ali tidak mampu untuk menang di Jerlun.

Katanya, persaingan di situ kini hanya melibatkan calon PN, Dr. Abd. Ghani Ahmad daripada Pas serta calon Barisan Nasional (BN), Datuk Othman Aziz yang merupakan bekas Timbalan Menteri Kewangan.

“Yang boleh ‘fight’ di sini cuma PN dan BN saja. Kalau ‘hangpa’ (anda) mahu calon yang di belakangnya ada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, hangpa pangkahlah calon BN itu. Tetapi kalau mahu di belakang calon itu ada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Datuk Hashim Jasin, hangpa pangkahlah calon Pas. 

“Hangpa nak mana satu? Jerlun ini antara kerusi paling cerah untuk PN peroleh. Tetapi jangan ralit (leka) kerana mereka akan mainkan isu pada minit-minit akhir,” katanya ketika menyampaikan ceramah di Dataran Pak Su Mat Yeh di Padang Sera, di sini malam tadi.

Berikutan Pejuang dan PH tidak mempunyai harapan untuk menang, Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar menyarankan agar mereka mengundi PN atas dasar matlamat yang sama iaitu menghalang BN membentuk kerajaan.

“Saya tengok pergerakan perubahan dan gelombang sekarang ini memang tak ada harapan dah untuk Pejuang dan PH. Jadi, disebabkan kami tahu anda pun tak suka BN, dalam keadaan tak boleh nak ke mana-mana, maka, undilah PN untuk kita sama-sama hentikan BN daripada memerintah negara ini,” katanya. 

Dalam perkembangan berasingan, Muhammad Sanusi berkata, pemimpin UMNO dan BN dikatakan menjadi ‘pening’ apabila melihat Pas memilih untuk menggunakan logo PN di Kedah berbanding lambang ‘bulan’ pada PRU15.

Katanya, perkara itu timbul kerana UMNO mengharapkan supaya Pas mengekalkan lambang parti itu sebelum akhirnya mereka memilih untuk menggunakan logo PN walaupun sebelum ini pernah membuat pengumuman akan menggunakan logo ‘bulan’.

“Kita fikir di Kedah ini kaum bukan Melayu ada kira-kira 25 peratus iaitu lebih ramai daripada di Kelantan dan Terengganu yang cuma lima peratus. Jadi, apabila kita buat kajian dan penilaian, pengundi lebih minat dengan satu logo yang gambarkan banyak parti sebab nak tubuhkan kerajaan di Malaysia ini perlu bergabung banyak parti.

“Mula-mula kita umum akan guna logo bulan di Kedah, Kelantan dan Terengganu, depa seronok dan anggap Pas dah ‘terkena’. Tiba-tiba kita pakai logo PN, depa pening. Ingat kita tak cerdik macam depa,” katanya.

Isu tersebut menjadi hangat apabila calon BN Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menggelarkan Muhammad Sanusi sebagai ‘cap ayam’ dan tidak mampu menyamai taraf Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar serta Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Abdul Azeez mendakwa, kedua-dua menteri besar berkenaan memiliki pegangan serta perjuangan tulen kerana Terengganu dan Kelantan menggunakan lambang bulan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya