PETALING JAYA: Wanita maut selepas kereta dipandu terlibat kemalangan di Lebuhraya Sungai Besi dekat susur ke Taman Desa dekat sini pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kejadian pada pukul 9.04 pagi dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Seputeh dengan kekuatan lapan anggota dikejarkan ke lokasi.
Komander Operasi Shahrul Rizal Ramli berkata, ketika tiba di lokasi kejadian, didapati berlaku kemalangan membabitkan kereta Perodua Kancil.
“Terdapat seorang wanita berusia 26 tahun terlibat kemalangan itu dan disahkan meninggal dunia di lokasi.
“Punca kemalangan tidak dapat dipastikan dan kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.-UTUSAN










