Tiada parti miliki kelebihan

Tiada parti miliki kelebihan

Apa juga keputusan PRN di enam negeri pada 12 Ogos ini, ia tidak mengugat kerajaan Pusat. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertembungan semua calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diramal sengit berikutan tiada satu pun parti politik setakat ini memiliki kelebihan untuk mencatat majoriti mudah membentuk kerajaan.

Sama ada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) mahupun Pakatan Harapan (PH) masing-masing memiliki peluang sama rata ekoran pelbagai masalah yang timbul antaranya sengketa dalaman selain kesan peremajaan parti menampilkan muka-muka baharu.

Jangkaan itu turut dipengaruhi faktor peralihan sokongan penyokong-penyokong ekoran pengguguran nama-nama besar berpengaruh dalam parti masing-masing sebelum ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Jeniri Amir berkata, setakat ini tiada parti yang dilihat ke hadapan berdasarkan senarai penuh calon yang bertanding.

Katanya, UMNO misalnya didakwa bergelora kerana isu pengguguran tokoh-tokoh besar hingga berkemungkinan mencetuskan unsur-unsur sabotaj dan tidak memberi sokongan kepada parti.

Bagaimanapun, beliau percaya tindakan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk meremajakan parti itu adalah selaras dengan aspirasi golongan muda dan rakyat sekali gus mampu mendatangkan impak positif sebagaimana Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor.

“Calon-calon PRU kali ini berbeza latar belakang, pengalaman dan personaliti jadi sukar untuk kita menilai, parti mana yang mempunyai kelebihan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Azmi Hassan berkata, pendorong utama pengundi memilih wakil rakyat bukan dipengaruhi oleh faktor calon semata-mata, sebaliknya adalah kerana parti.

Katanya, sentimen itu sudah sebati dalam kalangan masyarakat di Malaysia sejak awal pelaksanaan PRU hingga kini

“Mungkin ada calon yang perasan mereka boleh menang tanpa parti dengan menjadi calon bebas atau bertanding simbol lain.

“Jadi, pada saya tidak penting sama ada calon itu dikenali ramai atau tidak kerana apa yang lebih mustahak ialah parti yang berada di belakang mereka,” katanya.

Penganalisis politik, Dr. Ahmad Zaharuddin Sani Sabri pula berpendapat, calon-calon heavyweight wajar mengemukakan tawaran luar biasa bagi menawan hati pengundi mereka.

Katanya, tawaran itu perlu bersifat nasional dan bukan idea picisan atau berbentuk lokaliti.

“Saya mengharapkan calon-calon mempertaruhkan idea-idea besar seperti agenda ekonomi dan pemerkasaan golongan muda.

“Contohnya di Parlimen Tambun yang menyaksikan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu dengan penyandang, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, sesiapa sahaja yang menang perlu mencipta sejarah dan menjadikan kawasan itu sebagai sebuah pusat antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN