PETALING JAYA: Tawaran manifesto tiga gabungan utama parti politik seperti Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak lagi menjanjikan bulan dan bintang kepada pengundi.
Manifesto itu dilihat lebih realistik dan mampu dikotakan setelah mengambil pengajaran Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) apabila terdapat pihak gagal melaksanakan janji sehingga memakan diri sendiri.
Ini berdasarkan setiap tawaran dikemukakan tiga parti berkenaan apabila masing-masing menyentuh mengenai kos sara hidup, akses pendidikan berkualiti, soal pengangguran dan tadbir urus negara dalam tawaran manifesto setelah mengambil kira kedudukan kantung kewangan negara.
Meskipun menampilkan tema dan kandungan berbeza, namun setiap tawaran mempunyai satu matlamat iaitu menjaga kebajikan setiap lapisan rakyat dalam mendepani cabaran ketidaktentuan ekonomi global mengambil kira ramalan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia tentang pertumbuhan ekonomi dunia lebih rendah pada 2023.
Justeru, setiap parti menawarkan tawaran baharu jika mereka diberikan mandat oleh 21.1 juta pengundi untuk membawa keluar Malaysia daripada kemelut ekonomi dan memulihkan krisis keyakinan menerusi pelbagai inisiatif dan dasar lebih relevan.
Bagaimanapun terdapat beberapa persamaan manifesto, misalnya BN dan PH dilihat senada melaksanakan pemisahan jawatan dan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta tapisan jawatan utama negara seperti Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) oleh Jawatankuasa Khas Parlimen.
Begitu juga pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), apabila BN menawarkan bayaran semula berdasarkan pendapatan peminjam selepas setahun bekerja, manakala PN pula mahu mengurangkan bayaran balik pinjaman sebanyak 25 peratus kepada graduan memperoleh keputusan kelas kedua ke atas.
Malah, ketiga-tiga parti dilihat sebulat suara membabitkan soal pendanaan politik apabila masing-masing ingin memperkenalkan Akta Pendanaan Politik dan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkenaan hak kewarganegaraan anak dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia berkahwin dengan warga asing.
Bagi BN, parti itu menampilkan tawaran baharu yang dikenali Perancangan Amal dan Usaha atau Padu yang menggariskan lima idea dan 99 pendekatan yang merangkumi pelbagai aspek khususnya pengurusan kos sara hidup, pendidikan percuma dan politik progresif.
Seperti amalan parti itu selama ini, aspek jaringan sosial sekali lagi menjadi tumpuan apabila menawarkan Skim Bantuan Pendapatan Asas iaitu kredit bantuan bulanan secara automatik kepada semua isi rumah berpendapatan kurang RM2,208 di samping memberi potongan cukai pendapatan dua peratus kepada kumpulan M40 dengan julat pendapatan antara RM50,000 hingga RM100,000.
Menyentuh akses pendidikan pula, BN menawarkan pusat asuhan nasional percuma untuk semua kanak-kanak berusia enam tahun ke bawah dan pelaksanaan sistem persekolahan tanpa buku teks dengan pemberian komputer riba percuma kepada semua pelajar B40 serta pengajian tinggi percuma kepada bakal penuntut daripada keluarga B40.
Menarik perhatian, apabila BN merancang untuk menggubal Akta Kontraktor Tanggungan yang bertujuan melindungi hak, pendapatan dan kebajikan pekerja gig seperti pemandu e-hailing dan penghantar makanan serta menyedia lebih banyak peluang pekerjaan dengan mengekalkan kadar pengangguran di bawah empat peratus.
Berbanding PH menerusi dokumen Manifesto Kita Boleh! di dalam usaha menangani kos sara hidup, mereka dilihat mahu mengkaji semula konsesi lebuh raya dan bertekad meneruskan pengurangan tol Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) secara berperingkat dengan matlamat akhir penghapusan sekali gus mengembalikan kepada milikan awam.
Parti itu berjanji untuk meneruskan program Bantuan Sara Hidup (BSH) untuk membantu mengatasi kos sara hidup seperti mana pernah dilakukan ketika menjadi kerajaan 22 bulan dan mengotakan janji pemberian sarapan percuma seperti mana hasrat mereka sebelum ini.
Antara kelainan tawaran PH berbanding BN dan PN, gabungan parti terdiri daripada PKR, DAP dan Parti Amanah Negara serta UPKO merancang mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai syarat am kelayakan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dengan pemohon perlu mendapat kepujian Bahasa Melayu dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan pengenalan had tambang pengangkutan awam maksimum RM5 sehari.
Selain itu, PH berhasrat mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri kepada maksimum 10 tahun serta mewujudkan Akta Penggal Tetap Parlimen bagi memastikan pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) hanya dilakukan apabila penggalnya tamat.
Sementara itu, tawaran manifesto PN yang bertemakan ‘Prihatin, Bersih dan Stabil Malaysia Gemilang’, mereka berjanji menubuhkan MyPrihatin iaitu sebuah pusat sehenti dan pangkalan data tunggal untuk memastikan penyampaian bantuan kepada rakyat dilakukan dengan sistematik dan berkesan.
Berbeza daripada BN dan PH, janji-janji pilihan raya PN yang merangkumi 12 tunjang utama, 30 pendekatan dan 234 tawaran, mereka merancang untuk menaikkan kadar elaun sara hidup (Cola) penjawat awam sebanyak RM100 dan jumlah itu akan diselaras secara berkala bagi meringankan beban kos sara hidup kakitangan kerajaan.
PN juga berhasrat mengoptimumkan bilangan Anggota Pentadbiran Kerajaan Persekutuan dan memperkasa Pelan Antirasuah Nasional serta mahu mewujudkan Mahkamah Anti Rasuah manakala gabungan disertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan Pas itu mahu mewujudkan dana khusus bertujuan menaik taraf dan menyelesaikan masalah sistem bekalan air di seluruh negara termasuk Kelantan.
Mengulas lanjut, Pensyarah kanan Pusat Pengajian Kerajaan, Undang-Undang dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Mohamad Faisol Keling berkata, setiap parti kini mengambil langkah berhati-hati untuk merangka manifesto kerana tidak mahu janji-janji manis memerangkap mereka sendiri seperti yang berlaku ketika PRU14.
Katanya, rakyat kini lebih bijak menilai setelah mengalami pertukaran tiga kerajaan dalam tempoh satu penggal dan mereka kini sudah serik akibat termakan janji politik yang tidak dilaksanakan sehingga kini.
Justeru katanya, setiap manifesto dikemukakan dibuat berdasarkan kemampuan dan kedudukan kewangan negara agar tidak diungkit pengundi kelak sekiranya gagal ditunaikan.
“Misalnya menghapuskan tol dan PTPTN, perkara ini sering diulang rakyat sehingga kini dan menyebabkan pengundi berhati-hati untuk memilih kerajaan dalam PRU15,” katanya.
Beliau menambah, setiap parti bukan sahaja merangka manifesto lebih relevan tetapi berupaya menarik sokongan pengundi baharu berusia 18 hingga 30 tahun khususnya di dalam kalangan atas pagar sama ada tawaran itu memenuhi keperluan mereka atau sebaliknya. – UTUSAN










