Tengku Zafrul enggan hirau anggapan calon ‘kayangan’ -

Tengku Zafrul enggan hirau anggapan calon ‘kayangan’

TENGKU Zafrul (tiga kanan) diperkenalkan sebagai calon BN Parlimen Kuala Selangor pada majlis itu di Bangunan UMNO Kuala Selangor, Selangor, malam tadi. -UTUSAN/ ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz enggan menghiraukan sentimen segelintir rakyat yang menganggapnya sebagai calon ‘kayangan’ di kerusi Parlimen Kuala Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut Menteri Kewangan yang juga calon Barisan Nasional (BN) itu, beliau menghormati pandangan pihak lawan dan mahu mengamalkan politik ‘bersih’ sepanjang pilihan raya.

“Perkara itu tidak perlu diulas lanjut dan saya memfokuskan untuk membantu kebajikan dan kepentingan rakyat.

“Selain itu, tumpuan diberikan kepada isu pembangunan negara terutama Selangor dan saya berterima kasih kepada gerak jentera yang memberi sokongan padu,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pengumuman Calon BN di Bangunan UMNO Kuala Selangor di sini, malam tadi. 

Jelas Tengku Zafrul yang juga Bendahari UMNO Selangor, beliau menyertai parti itu sejak berusia 24 tahun dan politik bukan perkara baharu buat dirinya. 

“Saya menyertainya pada 1997 namun bukan sebagai pemimpin barisan hadapan tetapi cuba membantu parti.

“Selain itu, saya pernah bekerja sebagai pegawai khas kepada seorang Menteri UMNO yang telah pergi meninggalkan kita,” ujarnya.

Beliau berkata, perasaan kali pertama menjadi calon bercampur baur dan gementar kerana di luar kebiasaannya. 

“Banyak perkara yang perlu diberi tumpuan terutama dari segi kebajikan rakyat dan pembangunan. 

“Ada pelbagai idea dan cadangan yang dikemukakan termasuk melancarkan manifesto Kuala Selangor selepas penamaan calon nanti,” katanya.

Tambah Tengku Zafrul, masih terlalu awal untuk menyatakan soal majoriti menang atau kalah dan beliau mahu meneruskan fokus agenda sedia ada. 

Beliau berdepan saingan sengit apabila menentang penyandang kerusi itu yang juga bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad (Amanah) selain Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Jeram, Mohd. Shaid Rosli (GTA) dan calon Pas, Muhammad Rashid Mohd. Kassim.

Pada PRU14, kerusi Parlimen Kuala Selangor dimenangi Dzulkefly yang menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim dari Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 8,498 undi.

Pertembungan tiga penjuru itu turut menyaksikan calon Pas yang juga Timbalan Yang Dipertua Pas Kuala Selangor, Mohd. Fakaruddin Ismail tewas. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya