PUTRAJAYA: Tindakan mana-mana ahli Dewan Rakyat menyatakan sokongan kepada ahli Dewan Rakyat lain sebagai calon Perdana Menteri yang berbeza gabungan parti, tidak menyalahi Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Anti Lompat Parti yang diluluskan baru-baru ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar Perlembagaan, Datuk Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, kedudukan itu mempunyai tujuan berbeza apabila Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun meminta parti politik yang menang jumlah kerusi substantial pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menamakan seorang daripada ahli Dewan Rakyat dalam gabungan mereka yang diberi kepercayaan untuk menjadi Perdana Menteri ke-10 melalui surat akuan berkanun dari setiap ahli Dewan Rakyat yang menganggotai gabungan tersebut.
Kenyataan itu susulan daripada titah perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Perdana Menteri seorang calon Dewan Rakyat yang melepasi 111 undi.
Kata beliau, titah Seri Paduka Baginda kali ini yang mensyaratkan hanya ketua parti atau gabungan parti yang perlu membawa bukti berkenaan menunjukkan kebijaksanaan yang berintegriti tinggi. Pendekatan itu penting untuk mengelakkan lobi dalam kalangan ahli Dewan Rakyat yang akhirnya akan menjejaskan kemuliaan Dewan.
Beliau berkata, buat masa sekarang, mereka yang memenangi kerusi Dewan Rakyat belum menjalani istiadat angkat sumpah, maka tidak hairanlah baginda ingin berurusan dengan ketua parti sahaja.
Penyerahan akuan bersumpah (SD) melalui saluran kepimpinan tertinggi parti masing-masing menunjukkan kepekaan baginda yang mementingkan kesetian ahli parti kepada ketuanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, undang-undang Anti Lompat Parti khususnya Perkara 49A adalah bertujuan menghalang ahli Parlimen menyertai parti lain selepas terpilih.
Ini kerana, menurut beliau, seorang ahli Parlimen boleh terlucut keanggotaannya jika dia meninggalkan atau melepaskan keahlian partinya sahaja mengikut undang-undang baharu berkenaan.
“Dalam pelantikan Perdana Menteri dan penubuhan jemaah menteri, tatacara tersebut dijelaskan dalam Perkara 43. Agong tidak terikat secara mutlak untuk hanya memilih pengerusi gabungan, presiden parti atau ‘poster boy’ sebagai Perdana Menteri. Hak istimewa tersebut selaras dengan kedudukan raja berdaulat di Malaysia menurut Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan.
“Keputusan akhir dalam pemilihan Perdana Menteri tertakluk kepada budi bicara dan kebijaksanaan baginda. Baginda mempunyai prerogatif untuk menimbangkan calon tersebut berdasarkan kepada keperluan semasa dan calon yang ada,” katanya di sini semalam.
Bagaimanapun, Wan Ahmad Fauzi berkata, tindakan sokongan mana-mana ahli Dewan Rakyat yang menyokong calon lain dalam kalangan parti berbeza membuka persepsi sogokan dan rasuah. Melainkan keputusan tersebut dibuat mengikut kuasa dan tatacara yang betul berlandaskan Perlembagaan Parti.
Katanya, keputusan tersebut perlu dibuat secara teliti dan perlu ada penjelasan kepada pimpinan pelbagai peringkat dan penyokong akar umbi walaupun ia tidak salah dari sudut undang-undang Anti Lompat Parti.
Terdahulu, Yang di Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melanjutkan proses bagi ketua parti dan gabungan politik untuk menghantar persepakatan pembentukan kerajaan dan nama calon Perdana Menteri, sehingga pukul 2 petang hari ini.
Sebelum itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberitahu, semua ahli Parlimen BN memenangi PRU15 menandatangani aku janji dan memberi mandat kepadanya selaku Presiden UMNO untuk menentukan apa-apa gabungan politik dalam penubuhan kerajaan.
Justeru, beliau mengingatkan mana-mana ahli Parlimen yang melanggar arahan parti akan mengakibatkan pelepasan keahlian parti termasuk kerusi Parlimen, selaras dengan undang-undang larangan Ali Dewan Rakyat bertukar parti seperti yang termaktub di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.
Difahamkan, ada antara Ahli Parlimen BN didakwa menandatangani Akuan Bersumpah (SD) bagi menyokong Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
Perkara itu dikukuhkan dengan kenyataan Perikatan Nasional (PN) bahawa gabungan parti itu memaklumkan sudah menghantar SD kepada Istana Negara untuk membentuk Kerajaan Persekutuan selepas mendakwa memperoleh sokongan 112 ahli parlimen. – UTUSAN










