Tambah bantuan tunai, kurangkan subsidi - Utusan Malaysia

Tambah bantuan tunai, kurangkan subsidi

Jumlah bayaran subsidi tahunan kerajaan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perpaduan disaran melaksanakan subsidi lebih bersasar iaitu dengan meningkatkan bantuan wang tunai untuk golongan memerlukan berbanding meningkatkan subsidi kepenggunaan seperti bahan api dan minyak masak.

Saranan tersebut perlu dipertimbangkan kerana Pusat Kajian Polisi Sosial di Amerika Syarikat (AS) mendapati semua program bantuan wang tunai yang diperuntukkan kerajaan AS menyumbang kepada penurunan kadar kemiskinan daripada 11.8 peratus pada 2019 kepada 9.1 peratus pada 2020.

Menyokong dapatan tersebut ialah Pusat Penyelidikan Kemiskinan dan Polisi Sosial di Universiti Columbia yang melaporkan, program kerajaan di AS yang memberikan bantuan wang tunai, bantuan pengangguran, suntikan wang tambahan dan bantuan wang untuk anak-anak menunjukkan kadar kemiskinan menurun setiap bulan dalam tempoh 18 bulan.

Di Malaysia, kerajaan membelanjakan RM77.3 bilion untuk subsidi kepenggunaan pada tahun ini dengan subsidi untuk petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) mencatatkan perbelanjaan sehingga RM37.3 bilion, jauh lebih tinggi berbanding bantuan wang tunai yang diagihkan cuma 11.7 bilion.

Kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM55 bilion untuk subsidi kepenggunaan dalam Bajet 2023, namun bantuan tunai hanya sekitar RM11 bilion, dengan RM1 bilion diperuntukkan untuk Program Pembasmian Miskin Tegar.

SUBSIDI

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, matlamat kerajaan membantu rakyat susah perlu diubah kerana subsidi bahan api untuk tahun ini sahaja sudah lebih 30 bilion.

Menurut beliau, subsidi membabitkan bahan api itu tidak hanya membantu rakyat susah sebaliknya ia sebahagian besarnya iaitu lebih 50 peratus dinikmati oleh golongan T20.

Menurut beliau, kumpulan T20 di Malaysia mewakili kira-kira 20 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia dan mereka yang berkemampuan paling banyak menggunakan subsidi bahan api tersebut.

“Kuasa beli kumpulan T20 yang tinggi dan keberadaan banyak kenderaan kerana kemampuan pendapatan mereka, menjadi sebab utama subsidi seperti petrol banyak digunakan oleh orang berkemampuan.

“Ini tidaklah menghairankan apa lagi salah kerana Malaysia menawarkan subsidi kepada sesiapa sahaja dan penguatkuasaan adalah sukar terutamanya di stesen minyak di seluruh negara.

“Sekiranya mahu dilaksanakan subsidi bersasar, mekanisme pelaksanaannya mestilah jelas kepada semua pihak. Ia mungkin boleh dilakukan secara berperingkat iaitu bermula dari makanan, bahan api dan sebagainya,” kata beliau ketika dihubungi.

BAHAN API

Oleh itu, menurut beliau, melihat kepada aspek bahan api tersebut sahaja terdapat kelompongan besar sasaran kerajaan untuk membantu rakyat yang memerlukan kerana subsidi itu lebih banyak dinikmati orang kaya.

Bagaimanapun, menurut Aimi, untuk menghentikan terus subsidi kepada kumpulan T20, kerajaan perlu melakukan secara berhemah dan tanpa sebarang pengecualian bagi menjaga hak mereka yang juga warganegara Malaysia.

“Kekangan yang terlalu kuat ke atas T20 boleh memberikan kesan negatif kerana kuasa membeli dan berbelanja mereka adalah besar yang mana ia boleh memberikan kesan memperlahankan ekonomi negara. Rantaian bekalan nilai perlu dijaga kerana permintaan itulah yang menjana ekonomi,” katanya.

Dalam pada itu, pensyarah ekonomi dari Putra Business School, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, kaedah menyampaikan bantuan tunai kepada rakyat yang memerlukan perlu terus diperkasa kerana program tersebut berjaya sampai kepada golongan sasar.

“Kalau buat subsidi bersasar, mungkin separuh sahaja daripada penerima bantuan sebelum ini yang benar-benar layak. Kerajaan sepatutnya hanya sasarkan bantuan kepada yang benar-benar layak terutama yang berpendapatan rendah dan mengambilkira pendapatan isi rumah.

“Ini termasuk golongan orang kurang upaya (OKU), masalah mental dan depresi, kerajaan juga perlu peka dan prihatin terhadap mereka. Namun, program bersasar perlu dibuat secara beransur-ansur, pastikan semua pihak memerlukan dapat bantuan sewajarnya,” katanya.

Pensyarah ekonomi Universiti Sunway, Dr. Yeah Kim Leng juga berpendapat, rasionalisasi subsidi harus dilakukan dengan berhati-hati supaya industri yang terjejas boleh mengambil langkah yang perlu untuk menyesuaikan diri dengan peningkatan beransur-ansur dalam bahan api dan kos input lain.

PERNIAGAAN

“Turun naik dalam kos dan harga adalah sebahagian daripada risiko pasaran dan perniagaan. Selagi perubahan itu beransur-ansur, perniagaan seharusnya dapat mengurusnya dengan menyerap kos atau menyerahkan semua atau sebahagian daripada kenaikan kos kepada pengguna bergantung pada keadaan pasaran,” katanya.

Menerusi Bajet 2023 yang dibentangkan kerajaan dipimpin Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memperuntukkan bantuan sosial dan subsidi untuk golongan B40 dan M40 yang ditingkatkan dua kali ganda daripada hanya 5.2 peratus kepada 11.3 peratus.

Bantuan tunai di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) kepada golongan susah dan B40 pula adalah sekitar RM10 billion.

Sementara itu, manifesto Pakatan Harapan (PH) yang turut sama membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menjanjikan untuk meluaskan skim mySalam dan PeKaB40 kepada golongan M40, selain kad subsidi atau e-wallet buat petani.

PH juga menawarkan skim jaminan keselamatan sosial buat pekerja gig meliputi insurans hayat percuma dengan pampasan khairat kematian sehingga RM10,000 serta memperluas elaun khas kehilangan pekerjaan kepada pekerja kontrak selagi mereka masih aktif mencari pekerjaan baharu.

Barisan Nasional (BN) pula berhasrat untuk mencapai sifar kemiskinan tegar dan mutlak menjelang 2025 dengan memperkenalkan Skim Bantuan Pendapatan Asas yang dikreditkan secara automatik setiap bulan, bagi memastikan setiap isi rumah dapat menikmati pendapatan minimum RM2,208 serta pengajian tinggi percuma kepada semua individu dari keluarga B40.

Selain itu, BN juga mahu meningkatkan had gaji kelayakan di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) dari RM5,000 ke RM8,000 bagi membantu mereka yang kehilangan pekerjaan dan pendapatan serta insentif RM500 secara sekali bayar kepada pasangan penerima Bantuan Keluarga Malaysia yang menimang cahaya mata.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN