KUALA LUMPUR: Sentuhan luar biasa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berjaya membawa negara di landasan tepat ke arah pemulihan dan pertumbuhan ekonomi pasca-Covid-19.
Walaupun tempoh pentadbiran Perdana Menteri singkat, namun cukup untuk membuktikan komitmennya dalam membantu Keluarga Malaysia mengharungi proses yang besar.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Kluster Integriti dan Governan Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, perkara itu jelas dilihat menerusi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan untuk menangani Covid-19 sekali gus menarik pelaburan dalam negara.
POSITIF
“Pertumbuhan ekonomi yang positif tentulah akan mengambil masa dan tidak boleh diukur dalam fasa pemulihan, tetapi dalam konteks ini saya dapati Perdana Menteri berjaya mengatasinya dengan sentuhan luar biasa.
“Kerajaan pimpinannya berjaya memastikan Malaysia berada di landasan tepat ke arah pemulihan ekonomi di samping membela nasib rakyat dalam apa jua kekangan dan inilah kelebihan Ismail Sabri serta barisan Kabinet,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri yang paling singkat dalam sejarah politik tanah air apabila hanya menyandang jawatan itu dalam tempoh 14 bulan sebelum membuat keputusan membubarkan Parlimen berkuat kuasa 10 Oktober lalu.
Antara langkah awal yang dilaksanakan beliau selepas menjawat jawatan itu pada 20 Ogos 2021 adalah memeterai memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik dengan pakatan pembangkang pada 13 September.
Pemeteraian MoU itu memberi beliau peluang tanpa gangguan untuk melaksanakan tindakan mengawal penularan wabak Covid-19, pemulihan ekonomi serta mewujudkan landskap politik baharu
Kesemua perkembangan positif itu adalah manifestasi kepada keikhlasan dan kesungguhan Ismail Sabri untuk mengotakan apa yang dijanjikan kepada Pakatan Harapan (PH) demi memastikan wabak Covid-19 dibendung dan pemulihan ekonomi negara berjalan lancar.
POLEMIK
Selain MoU, Ismail Sabri turut memperkenalkan Konsep Keluarga Malaysia yang berjaya mengurangkan polemik antara agama dan kaum di negara ini.
Haim Hilman berkata, gagasan Keluarga Malaysia yang inklusif itu sekali gus dapat memastikan tiada mana-mana rakyat yang tercicir daripada proses pembangunan negara.
Dalam pada itu, katanya, pentadbiran kerajaan Ismail Sabri juga mampu menjadi contoh terbaik kerana para pemimpinnya dapat bekerja antara satu sama lain walaupun berbeza fahaman politik.
“Perdana Menteri dan Kabinetnya merupakan pemimpin berjiwa besar serta berwibawa apabila sanggup mengenepikan soal politik untuk terus bergerak ke depan.
“Di sebalik pergeseran di sana sini memandangkan pertama kali parti gabungan bekerjasama tetapi kematangan mereka harus dipuji dan dibanggakaan dalam memberi khidmat serta menyelesaikan isu-isu rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, Haim Hilman menyeru rakyat agar bersikap bijak dan matang dalam memilih pemimpin pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan elakkan ketidakstabilan politik yang berpanjangan. – UTUSAN










