Semangat Che Abdullah tidak luntur walaupun berdepan tohmahan

Semangat Che Abdullah tidak luntur walaupun berdepan tohmahan

CHE Abdullah Mat Nawi (tengah) bertemu pengundi semasa di Pasar Sumayyah, Tumpat, Kelantan hari ini.-UTUSAN/ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi menegaskan semangat berkempennya tidak luntur berdepan pelbagai tohmahan daripada ahli-ahli parti lamanya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Che Abdullah sebaliknya berkata, beliau mahu fokus berkempen dan turun untuk bertemu seramai mungkin pengundi di Tumpat bagi memastikan kerusi parlimen ini dimenangi oleh BN.

“Ada video ceramah yang mengatakan bahawa individu yang bertanding di luar Pas akan mati bukan dalam Islam. Ia sudah pasti ditujukan kepada saya dengan penyertaan saya sebagai calon BN baru-baru ini sama ada secara langsung atau tidak.

“Saya mendapat sokongan baik daripada alim ulama dan para ustaz yang tidak bersetuju dengan kenyataan yang melibatkan akidah seperti itu,” katanya ketika ditemui pemberita semasa berkempen di Pasar Sumayyah di sini hari ini.

Bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II itu menegaskan selain mahu terus memberikan khidmat pada keputusan bertanding atas tiket BN dibuat bagi membersihkan namanya selepas berdepan pelbagai fitnah.

Katanya, beliau melihat BN merupakan satu wadah yang mampu memberi kejayaan kepadanya pada PRU15.

“Alhamdulillah, penerimaan pengundi di Parlimen Tumpat masih baik meskipun saya bertanding bersama BN.

“Selain perancangan pembangunan di Tumpat, tempoh berkempen ini merupakan satu peluang terbaik untuk saya menerangkan mengenai situasi sebenar sehingga menyebabkan saya memilih untuk menjadi calon BN pada pilihan raya kali ini,” ujarnya.

Sebelum ini, Pas menggugurkan nama Che Abdullah daripada menjadi calon Perikatan Nasional untuk mempertahankan Parlimen Tumpat pada PRU15.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Kelantan, Datuk Mumtaz Md. Nawi diumumkan sebagai calon Parlimen Tumpat menggantikan Che Abdullah.

Che Abdullah kemudiannya membuat keputusan  untuk bertanding di Parlimen itu atas tiket BN beberapa hari sebelum penamaan calon.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Che Abdullah yang ketika itu mewakili Pas menewaskan calon BN iaitu Datuk Wan Johani Wan Hussin dan Pakatan Harapan, Datuk Nordin Salleh dengan majoriti 17,500 undi. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya