fbpx

Seludup 8.5 tan minyak masak bersubsidi guna syarikat kurier

LORI milik syarikat kurier yang digunakan untuk menyeludup minyak masak bersubsidi berjaya ditahan oleh KPDNHEP negeri di Kota Bharu, Kelantan malam tadi.-UTUSAN/IHSAN KPDNHEP

KOTA BHARU: Sindiket penyeludup yang menggunakan syarikat kurier membawa 8.5 tan minyak masak bersubsidi untuk diseleweng ke negara jiran terbongkar selepas dua lori yang membawa bahan mentah tersebut ditahan di hadapan Balai Polis Kota Bharu di sini semalam.

Dalam serbuan pukul 9.15 malam itu, anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri berjaya menahan empat suspek masing-masing berusia antara 20 hingga 30-an bagi membantu siasatan berkait dengan rampasan bahan mentah itu.

Pengarahnya, Azman Ismail berkata, sejurus ditahan anggota bertugas terus membuat pemeriksaan ke atas lori berkenaan dan menjumpai 8.5 tan minyak masak bersubsidi yang dipercayai mahu diseludup ke negara jiran dengan yang dianggarkan bernilai RM21,250.

Menurutnya, hasil soal siasat awal yang dilakukan pemandu lori tersebut mengaku muatan yang dibawa itu luar negeri ini yang dipesan oleh seorang lelaki tidak dikenali menggunakan aplikasi khidmat syarikat kurier.

“Suspek mendedahkan dia hanya berhubung dengan lelaki berkenaan melalui aplikasi telefon dan kemudian dihantar ke lokasi yang diarahkan.

“Selain minyak, dua buah kenderaan yang digunakan untuk tujuan itu turut disita bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Azman memberitahu, terdahulu, sebelum itu pihaknya menerima maklumat berkait dengan aktiviti tersebut daripada seorang pemilik lesen borong barang kawalan yang menafikan bahawa pihaknya membuat tempahan tersebut.

Katanya, pemilik tersebut mengesyaki lesen miliknya itu digunakan oleh sindiket untuk tujuan yang bercanggah dengan undang-undangan negara.

“Susulan itulah, KPDNHEP negeri menjalankan Ops Membanteras Ketirisan Barang Kawalan. Pihak kami akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau peniaga yang melakukan kesalahan tersebut. 

“Pengguna boleh menyalurkan sebarang aduan sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti yang mencurigakan dan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil KPDNHEP selanjutnya,” ujarnya. –UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN