KUALA LUMPUR: Sistem peluru berpandu permukaan ke permukaan (SSM) dipertimbang sebagai alternatif susulan pembatalan perolehan misil anti kapal (NSM) dari Norway.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ketiadaan keupayaan peluru berpandu itu bagi Kapal Tempur Pesisir (LCS) dan kapal kelas frigat Kapal Diraja (KD) Lekiu dan KD Jebat memerlukan kementerian mengenal pasti pengganti kepada NSM.
“Ketika ini, satu jawatankuasa sedang meneliti perkara tersebut. Apa yang penting bagi kita ialah mendapatkan bekalan pengganti secepat mungkin.
“Namun, perkara ini bukan mudah. Ia bukan seperti membeli kereta yang sudah tersedia. Sistem ini perlu ditempah mengikut spesifikasi tertentu dan mesti boleh berhubung serta berintegrasi dengan sistem lain dalam kapal,” katanya ketika ditemui pada Majlis Peluncuran Program ProWira Ready To Work Graduate dan Inisiatif Pendidikan Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) 2026 di sini. hari ini.
Sebelum ini, Norway membuat keputusan secara unilateral untuk menyekat penghantaran peluru berpandu NSM, sekali gus menamatkan kontrak berkenaan tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepada Malaysia.
Difahamkan, keputusan untuk menghentikan penghantaran peluru berpandu NSM telah dimaklumkan kepada Mohamed Khaled dalam satu pertemuan bersama pegawai Kerajaan Norway pada 20 April lalu, iaitu hari pertama Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC) 2026.
Mohamed Khaled berkata, perolehan dan pembangunan sistem sedemikian memerlukan masa kerana setiap kapal mempunyai sistem komunikasi, sistem elektrik dan pelbagai komponen lain yang dibekalkan oleh syarikat berbeza.
“Sistem peluru berpandu itu mesti boleh disepadukan dan berhubung dengan kesemua sistem tersebut. Oleh itu, proses pembangunannya akan mengambil masa.
“Bagaimanapun, kita sedang mencari pilihan yang boleh dipercepatkan. Kita perlu membuat pilihan yang tepat dan terbaik demi kepentingan negara,” katanya. – UTUSAN










