fbpx

Segera selesai isu ban pecah Tanjong Karang

ZULKAFPERI Hanapi (berkopiah) meninjau keadaan ban yang sedang dibaik pulih di pesisir pantai Kampung Sungai Kajang, Tanjong Karang, Kuala Selangor, Selangor. -UTUSAN/ ISKANDAR SHAH MOHAMED

KUALA SELANGOR: Kerajaan baharu diminta segera menyelesaikan isu ban pecah di Kampung Sungai Kajang, Tanjong Karang di sini, bagi mengatasi banjir di sekitar kawasan itu yang membebankan penduduk.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi berkata, projek benteng penahan ombak bernilai RM12 juta sudah diluluskan kerajaan terdahulu, namun, projek itu masih menjadi tanda tanya sehingga kini.

“Saya setakat ini belum menerima sebarang makluman berkaitan projek itu dan bimbang ia bukannya menjadi keutamaan.

“Justeru, saya meminta kerajaan yang baharu dipilih memberi keutamaan segera menyelesaikan isu berkenaan supaya tidak berulang semula,” katanya selepas meninjau kerja baik pulih ban pecah di pesisir pantai Kampung Sungai Kajang itu, petang tadi.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan seramai 111 mangsa dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka dilanda banjir akibat dua ban pecah di sekitar Tanjong Karang.

Dua lokasi itu melibatkan kawasan sekitar Kampung Baru Lembah Pantai dan Kampung Ban RB, Sungai Sireh.

Kesemua mangsa itu terdiri daripada 38 keluarga termasuk warga emas, kanak-kanak dan bayi.

Jelas Zulkafperi, pembinaan benteng penahan ombak perlu dilaksanakan bagi mengelak kawasan berhampiran seperti Kampung Baru Lembah Pantai membabitkan dan pekan Tanjong Karang ditenggelami air.

“Kawasan berdekatan pesisir pantai itu sebelum ini merupakan kawasan paya bakau.

“Jika masalah itu berterusan, saya bimbang keadaan bertambah teruk dan air laut melimpah ke Pekan Tanjong Karang yang jaraknya hanya tiga kilometer dari pantai,” ujarnya.

Tambah beliau, beberapa langkah dilakukan selepas kawasan itu dilanda banjir antaranya menambak tanah dan meletakkan 1,000 guni beg pasir.

“Langkah sementara itu diharap dapat mengurangkan impak sekiranya berlaku fenomena air pasang besar disusuli hujan lebat,” katanya.

Sementara itu, penduduk, Rosnah Md. Hamsudin, 55, berharap perkara itu dipandang serius kerana ban pecah kali ketiga dilaporkan berlaku bulan ini.

“Penduduk kini sentiasa hidup dalam kebimbangan sekiranya hujan lebat ditambah pula dengan fenomena air pasang besar.

“Ban sedia ada itu perlu dinaik taraf segera bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku termasuk kemalangan jiwa,” katanya. –UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN