ARAU: Datuk Seri Shahidan Kassim menggesa pucuk kepemimpinan parti menimbang senarai calon yang dihantar oleh bahagian masing-masing dalam penentuan calon bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) termasuk di Parlimen Arau.
Kata Ketua UMNO Bahagian Arau itu, kepemimpinan tertinggi yang bertanggungjawab menyaring dan memilih calon itu perlu melihat senarai nama yang dihantar oleh bahagian.
“Saya tidak terpilih tak mengapa, namun, dengan syarat perlu memilih nama yang dicalonkan daripada senarai yang dipersetujui Bahagian UMNO Bahagian Arau.
“Kalau khidmat saya sudah tidak diperlukan lagi, sekurang-kurangnya nama yang dicalonkan dalam senarai bahagian seperti Ketua Wanita, Ketua Puteri atau lain-lain terpilih,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menjelang pengumuman calon Barisan Nasional (BN) malam ini, nama Shahidan dikatakan gugur sebagai calon bagi Parlimen Arau dalam PRU15.
Sebagai rekod, Shahidan yang sudah lebih 30 dalam tahun dalam politik menguasai Parlimen Arau pada Pilihan Raya Umum 1986,1990,2013 dan 2018 selain pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Besar dari 1995 hingga 2008.
Setiap kali PRU sejak 1986, sama ada di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN), Shahidan tidak pernah tewas termasuk ketika berhadapan dengan dua Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Dr. Haron Din (bekas) dan Datuk Hashim Jasin iaitu pada 2004 (DUN Tambun Tulang), 2013 (Parlimen Arau) dan 2018 (Parlimen Arau).
Selain Shahidan, seorang lagi pemimpin ‘otai’ Datuk Zahidi Zainul Abidin juga dikatakan tidak terpilih mempertahankan kerusi Parlimen Padang Besar dalam pilihan raya kali ini.
Tambah Shahidan, beliau difahamkan nama bakal calon yang akan bertanding adalah individu yang tidak pernah hadir mesyuarat.
Beliau turut mempersoalkan bagaimana calon itu boleh terpilih sedangkan tidak ada dalam senarai pencalonan bahagian.
Dalam pada itu, berkaitan tindakan penyokong menurunkan bendera dan menutup bilik gerakan, Shahidan memaklumkan sebenarnya belum ada lagi arahan membuka bilik gerakan di negeri ini termasuk di kawasan Kangar dan Padang Besar
“Penyokong parti membuka bilik gerakan secara suka-suka sahaja namun disebabkan tiada peruntukan, mereka menangguhkan kerja-kerja kempen terlebih dahulu,” katanya.
Sementara itu, penyandang kerusi Parlimen Padang Besar, Zahidi turut senada dengan Shahidan meminta supaya kepimpinan melihat semula senarai pencalonan yang dihantar bahagian itu.
“Bahagian UMNO Padang Besar telah menghantar senarai lima calon seperti dikehendaki perlembagaan parti bagi PRU15.
“Sekiranya lima senarai tersebut tidak terpilih, ia mungkin akan melanggar perlembagaan parti dan sekiranya calon luar diletakkan di Padang Besar, ia mungkin menyebabkan sokongan penyokong berbelah-bagi,” jelasnya.
Tambah Zahidi, sekiranya nama seperti dalam senarai pencalonan bahagian terpilih, mereka perlu melaksanakan tugas untuk memastikan kemenangan kepada BN. –UTUSAN