fbpx

Remaja 16 tahun ditahan curi tabung masjid

TANGKAP layar seorang remaja mencuri duit tabung Masjid Pekan Sanglang, Ayer Baloi, Pontian.

PONTIAN: Seorang remaja berusia 16 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes mencuri wang tabung Masjid Pekan Sanglang, Ayer Baloi, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, pihaknya mengesan kejadian itu menerusi satu video berdurasi dua minit 19 saat yang dimuat naik dalam sebuah akaun Twitter pada Ahad lalu.

“Video berkenaan memaparkan seorang lelaki mencuri duit tabung masjid. Hasil siasatan pihak polis kejadian tersebut berlaku pada 20 November lalu pada pukul 10.58 pagi di masjid berkenaan.

“Susulan itu, pada 23 November pihak pengurusan masjid membuat laporan di Balai Polis Air Baloi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bertindak atas maklumat pada pukul 3 petang, 23 November lalu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian menahan remaja berkenaan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan, jika disabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda,” katanya.- UTUSAN

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN