Tiga suspek larikan peti besi masjid guna MPV mewah dicekup

Tiga suspek larikan peti besi masjid guna MPV mewah dicekup

MPV mewah dan motosikal digunakan tiga suspek yang ditahan kerana melakukan kegiatan pecah masuk masjid di sekitar Sungai Lalang, Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Polis berjaya menumpaskan kegiatan mencuri tabung beberapa buah masjid di sekitar daerah ini selepas berjaya menahan tiga lelaki di Sungai Lalang, di sini Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, ketiga-tiga suspek berusia 20-an itu ditahan kira-kira pukul 2.30 petang, pada hari sama mereka memecah masuk sebuah masjid di Sungai Lalang dan melarikan peti besi mengandungi wang tunai RM1,200.

“Hasil maklumat dan berpandukan kamera litar tertutup (CCTV) masjid, kita berjaya menjejaki kumpulan itu di sebuah motel yang dijadikan tempat berkumpul.

“Siasatan lanjut terhadap suspek membawa polis ke satu lokasi semak di lorong belakang sebuah kawasan perumahan di Sungai Lalang sebelum menemui peti besi milik masjid yang dibuang di situ,” katanya.

Menurut Hanyan, polis turut merampas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah motosikal yang disyaki digunakan kumpulan itu ketika melakukan pecah masuk masjid sekitar daerah ini.

“Modus operandi mereka ialah salah seorang suspek menunggang motosikal untuk meninjau keadaan masjid selepas jemaah selesai solat Subuh sebelum dua suspek lagi melarikan peti besi menggunakan kereta.

“Kita percaya ketiga-tiga suspek yang positif Methamphetamine ini bergiat aktif sejak tiga bulan lalu dan dengan tertangkapnya mereka kita telah menyelesaikan tiga kes membabitkan kegiatan sama di daerah ini. Mereka kini direman untuk siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×