Rafizi bakal dedah kepincangan PN dalam kerajaan

Rafizi bakal dedah kepincangan PN dalam kerajaan

PKR
RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli bakal mendedahkan kepincangan Perikatan Nasional (PN) terutamanya dalam pengurusan kewangan ketika berkuasa sama ada ketika diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Pandan itu berkata, gabungan yang dianggotai Parti Bersatu, Pas dan Gerakan itu kini cuba menjenamakan gabungan mereka sebagai bersih dari rasuah. 

Sehubungan itu, katanya, beliau akan cuba membawa bukti tersebut apabila kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bermula secara rasmi esok. 

“PN kini cuba menjenamakan gabungan mereka sebagai bersih dari rasuah. Kononnya UMNO atau Barisan Nasional (BN) rosak akibat rasuah dan PKR atau PH pula akan menyebabkan Melayu hilang kuasa kerana ada DAP. 

“Ada pepatah Inggeris yang berbunyi those who live in a glass house should not throw stones yang bermaksud ‘kalau kita pun banyak kayap, jangan bising pasal kayap orang lain’. 

“Apabila kempen bermula secara rasmi esok, saya akan usahakan bukti-bukti untuk meyakinkan pengundi-pengundi (terutamanya Melayu) bahawa PN ini hanyalah serpihan UMNO yang mabuk kuasa. 

“Rekod 33 bulan mereka bersama kerajaan juga buruk dalam bab-bab tata kelola kewangan negara. Saya yakin banyak penyokong BN yang akan setuju dengan saya. Tunggu sidang media mingguan saya hari Isnin, 7 November mengenai perkara ini. Dalam nada Zahid Hamidi, ‘PN/Muhyiddin, you are next’,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini. 

Semalam, media melaporkan, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN mendakwa, BN dan PH mempunyai perancangan sulit untuk bergabung membentuk kerajaan selepas PRU15. 

Justeru, penyandang kerusi Parlimen Pagoh itu mengajak rakyat tidak membenarkan dua parti berkenaan kembali berkuasa selepas pilihan raya umum nanti. 

“Saya tegaskan jika kita tidak keluar mengundi, kita seolah-olah memberi hak kepada seorang yang tidak layak untuk memerintah negara. 

“Kita tidak boleh membiarkan BN dan PH kembali berkuasa dan rakyat mesti memastikan perancangan sulit mereka untuk bergabung membentuk kerajaan selepas PRU tidak berlaku,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN