PRU15:Ronald Kiandee digugurkan, Benedict Asmat di Beluran

PRU15:Ronald Kiandee digugurkan, Benedict Asmat bertanding di Beluran

pru15
RONALD KIANDEE (kiri) akan digantikan dengan Benedict Asmat di Parlimen Beluran pada PRU-15
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah menamakan bekas Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Benedict Asmat,54, sebagai calon kerusi Parlimen Beluran pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Dengan pengumuman itu, ia mengesahkan penyandang kerusi Parlimen Beluran iaitu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee digugurkan daripada senarai calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS)-BN di Sabah.

Ada khabar angin menyatakan Ronald akan bertanding di bawah tiket Perikatan Nasional (PN) namun, perkara itu hanya akan diketahui pada hari penamaan calon, esok.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan itu memenangi kerusi Parlimen Beluran selama lima penggal sejak 1999 di bawah tiket BN sebelum beliau bertindak keluar parti dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Februari 2019.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, Benedict mempunyai banyak pengalaman dalam perkhidmatan awam.

“Pemilihan Benedict sebagai calon BN merupakan pilihan yang tepat kerana calon ini seorang yang berpengalaman luas dalam jentera pentadbiran awam dan pernah menjawat beberapa jawatan di peringkat UMMO bahagian.

“Pengalaman sebagai penjawat awam pastinya membantu memudahkan beliau melaksanakan tugas-tugas sebagai wakil rakyat dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Penyandang kerusi Parlimen Kinabatangan itu turut mengumumkan pertukaran nama calon BN bagi kerusi Parlimen Kalabakan.

Sebelum ini BN menamakan Aslin Fadli Samsul Alang sebagai calon kerusi berkenaan namun, Aslin akan digantikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Andy Muhammad Suryady Bandy.

Dengan pengumuman itu, Andy, yang juga Pembantu Menteri Belia dan Sukan bakal bertembung dengan penyandang kerusi Parlimen Kalabakan Ma’mun Sulaiman mewakili Parti Warisan (Warisan) dan calon Pakatan Harapan (PKR) Noraini Abd Ghapur.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN