PETALING JAYA: Jumlah saman trafik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) tahun lalu meningkat 166.2 peratus kepada 14 juta saman berbanding 5.3 juta pada 2020, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Dalam laporan Statistik Jenayah Malaysia 2022, DOSM berkata, saman POL.170A dan POL.257 masing-masing menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 139.1 peratus dan 217.3 peratus kepada 8.2 juta saman dan 5.8 juta saman.
Saman POL.170A adalah notis yang dikeluarkan secara postal atau diletak pada kenderaan atas kesalahan trafik dan ia dikeluarkan tanpa kehadiran pemandu atau tanpa ditahan.
Sementara itu, saman POL.257 pula dikeluarkan secara langsung kepada pesalah trafik apabila kesalahan dikesan dan diserahkan kepada pemandu atau pengguna jalan raya yang ada bersama-sama pada masa kesalahan itu dilakukan. Saman ini juga digunapakai selepas selesai sesuatu siasatan kes kemalangan jalan raya.
DOSM turut melaporkan bilangan kanak-kanak yang terlibat dengan jenayah menurun 35.3 peratus kepada 3,457 kes tahun lalu daripada 5,342 kes pada 2020.
“Bilangan kes bagi kanak-kanak lelaki dan perempuan masing-masing mencatatkan penurunan 34.4 peratus dan 43.8 peratus kepada 3,171 kes (2020: 4,833 kes) dan 286 kes (2020: 509 kes).
“Bilangan kemasukan banduan sabitan menurun 18.1 peratus pada 2021 (83,592 penghuni) berbanding 2020 (102,045 penghuni).
“Semua negeri merekodkan penurunan bilangan kemasukan banduan sabitan kecuali Kedah mencatatkan peningkatan 3.1 peratus. Selangor merekodkan bilangan kemasukan banduan sabitan tertinggi iaitu 24,927 penghuni diikuti Johor (8,643 penghuni), Kedah (6,855 penghuni) dan Perak (6,714 penghuni),” jelas laporan itu. – UTUSAN










