Pas tumbang 20 ekor lembu raikan kemenangan di Tumpat

Pas tumbang 20 ekor lembu raikan kemenangan di Tumpat

MOHD. Amar Nik Abdullah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Sebanyak 20 ekor lembu akan ditumbangkan oleh Pas Kelantan sebagai tanda kesyukuran atas mempertahankan kemenangan di Parlimen Tumpat dengan majoriti besar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, beliau sudah menyerahkan kepada pihak Parlimen Tumpat untuk menetapkan tarikh bagi melaksanakan kenduri tersebut.

“Bagaimanapun, saya mencadangkan agar ia diadakan pada awal Disember nanti iaitu selepas sesi pembentangan dan perbahasan Belanjawan 2023 Kerajaan Negeri Kelantan.

“Ia akan dilaksanakan mengikut empat Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terdapat di Parlimen Tumpat. Kita akan agihkan lima ekor lembu bagi setiap DUN,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Persidangan DUN Kelantan di Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu memberitahu, selepas kemenangan besar Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md. Nawi pada PRU15, ramai pihak menghubunginya untuk menaja lembu-lembu yang bakal dikorbankan.

Katanya, masing-masing bersemangat untuk menaja seekor atau dua ekor lembu mengikut kemampuan masing-masing bagi menjayakan kenduri itu nanti.

“Alhamdulillah. Hasil tajaan orang ramai,  berjaya mencukupkan jumlah 20 ekor lembu untuk ditumbangkan. Namun, jika ada pihak mahu menambah tajaan lembu, kita tetap mengalu-alukan.

“Di samping menunaikan janji-janji saya, kenduri ini juga adalah untuk menzahirkan kesyukuran selain berterima kasih kepada petugas-petugas parti dan menghargai sokongan rakyat kepada calon Perikatan Nasional (PN),” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN