MENJELANG pengumuman calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang dijangka dibuat hari ini, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, 64, yang mengumumkan bersara daripada politik dikatakan sudah muktamad dengan keputusannya itu.
Beliau dikatakan sah tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Padang Rengas walaupun Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengesahkan nama Mohamed Nazri ada dalam senarai yang diserahkan kepada lima pemimpin tertinggi UMNO untuk bertanding PRU15.
Mohamed Nazri berada dalam senarai itu atas kapasiti sebagai penyandang kerusi Parlimen Padang Rengas, namun beliau membuat keputusan tidak bertanding pada PRU15 bagi memberi laluan kepada muka baharu.
Ketua Pemuda UMNO Perak, Mohd Ariff Abd Majid antara nama disebut-sebut antara calon yang dipertimbangkan untuk bertanding di kerusi Parlimen Padang Rengas.
Ketika Mohamed Nazri antara pemimpin politik veteran di Perak yang bakal mengakhiri karier politiknya, seorang lagi pemimpik politik veteran Perak, Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, 74, pula bakal mengetahui nasibnya sama ada dicalonkan atau tidak pada PRU15.
Walaupun digugurkan daripada ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO kerana sikap dan pendirian yang bercanggah dengan parti, peluang Tajuddin untuk dicalonkan masih menjadi tanda tanya.
Ada yang meramalkan beliau akan dicalonkan atas faktor pengaruhnya yang masih kuat di kawasannya.
Semangat UMNO Tajuddin masih kuat sehingga menolak pelawaan Pas Perak agar beliau bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) mewakili Pas di Parlimen Pasir Salak jika diketepikan UMNO kali ini.
Tidak mustahil Tajuddin akan diberi peluang mempertahankan kerusi Parlimennya apatah lagi beliau dilihat mesra dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada satu program di Bagan Datuk baru-baru ini yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ramai yang menyifatkan pertemuan Tajuddin dan Ahmad Zahid pada majlis itu menjernihkan hubungan mereka. – UTUSAN










