MUKADIMAH
NAMA Johan Ariffin Mohd. Ropi atau mesra disapa Johan Ropi menjadi sebutan susulan tular gambar bahan kempennya yang diletakkan bersebelahan papan tanda pencabarnya,
Akmal Nasrullah Mohd. Nasir daripada Pakatan Harapan (PH) dalam media sosial.
Walaupun ia penampilan sulungnya dalam pilihan raya umum, namun calon Barisan Nasional (BN) ini tidak kekok untuk berkempen dan mendekati pengundi di Parlimen Johor Bahru.
Malah, beliau diharapkan mampu membawa lebih banyak kemajuan, kesejahteraan kemakmuran di Johor Bahru.
Wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD FAIZAL HASHIM menyelami isi hati dan visi Johan Ropi kenapa beliau harus dipilih mewakili Johor Bahru.
UTUSAN: Idea kempen sinikal, nakal dan kreatif menjadikan nama Johan Ropi meletup dalam media sosial, sejauh mana populariti ini membantu?
Saya lihat komen-komen netizen serta hantaran mesej rakan-rakan lama, mereka melihat itu sebagai kreatif dan sinikal. Billboard ‘Kita Boleh’ dan ‘Undi Johan’ yang diletakkan bersebelahan memberi impak positif buat calon BN itu.
Saya rasa itu adalah keputusan tepat untuk buat begitu, selepas ia tular gambar-gambar bahan kempen dalam media sosial, menaikkan semangat jentera parti untuk bekerja lebih gigih, bilangan jentera yang mengikut saya juga berlipat ganda.
Adakah warga Johor Bahru mengenali Johan Ropi?
Apabila sebut tentang Johan Ropi, ada antara mereka sudah mengenali saya, khususnya golongan muda menerusi hubung kait dengan Kilang Bateri, lokasi tumpuan utama di Johor Bahru suatu masa dahulu. Sebelum bergelar usahawan, saya pernah berada dalam perkhidmatan awam, di Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) sebagai pemudah cara kepada pelaksana dasar dan polisi.
Untuk melakukan transisi daripada seorang yang business-minded menjadi individu berjiwa politik bagi membantu pendudu Johor Bahru seterusnya memenangi kembali kerusi Johor Bahru, saya tidak melihat itu sebagai satu masalah kerana sudah ada pengalaman untuk menguruskan polisi dan dasar.
Bagaimana penerimaan oleh penduduk setempat setelah hampir dua minggu berkempen?
Pada minggu pertama, tumpuan utama jentera yang dibantu parti komponen dan cawangan adalah memperkenalkan diri saya kepada mereka, apakah latar belakang Johan Ropi, siapakah dia serta tahap pendidikan calon BN di Johor Bahru ini. Saya bersyukur dengan jaringan hubungan keluarga, rakan serta jentera membantu saya berkempen dan dengan cepat dikenali oleh pihak ketiga.
Bantuan ‘word of mouth’ ini membantu saya mendapat ‘organic recommendation’ dalam kalangan masyarakat dan penerimaan semakin positif apabila masuk minggu kedua berkempen.
Sebagai anak jati Johor Bahru, apakah visi buat daerah ini?
Yang pertama, keunikan gaya hidup di Johor Bahru ini harus dikekalkan dengan menawarkan keseimbangan kehidupan baik dari sudut ekonomi mahupun budaya dan agama merentasi semua kaum. Orang Johor Bahru ini mahu kehidupan yang membangun dan moden tapi bersederhana, iaitu ada ruang untuk bernafas dan menjalani aktiviti kemasyarakatan.
Dari sudut ekonominya, ekonomi rentas Tambak menjadi salah satu Komitmen #JBKita, satu perkara yang instrumental untuk Johor Bahru. Hasrat ini adalah dengan memudah cara ekonomi rentas sempadan sejajar dengan matlamat menjadikan Johor Bahru sebagai Gerbang Ekonomi Selatan.
Kenapa orang Johor Bahru perlu undi Johan Ropi?
Ia bukan berkisar siapa Johan Ropi tetapi calon BN di Johor Bahru. Saya ini cuma penambah rencah dan tawaran baharu BN.
BN sudah masyhur dengan politik khidmat dan asas itu sudah kuat, ini adalah masanya BN berani melangkah ke hadapan dengan meletakkan watak seperti saya untuk menunjukkan progres dan menghantar isyarat jelas kepada masyakarat bahawa kita mempunyai ramai pemimpin berbakat, dalam masa sama menyeimbangkan pemikiran generasi lama dan generasi baharu. Itu yang BN nak terjemahkan.
Keduanya, saya adalah anak jati tempatan yang memahami dan menyayangi bandar ini dan melaksanakan sedaya upaya, menzahirkan kepentingan bandar Johor Bahru.- UTUSAN










