KLUANG: Kejayaan Barisan Nasional (BN) Johor dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac lalu harus dilengkapi dengan kemenangan di peringkat Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad berkata, kemenangan khususnya di Johor akan membantu BN membentuk kerajaan Pusat di Putrajaya.
“Dengan kemenangan BN di peringkat Parlimen ia adalah pelengkap kepada hasrat BN untuk menerajui negeri secara keseluruhannya serta membantu membentuk kerajaan Pusat dan ia perlu bermula di Parlimen Simpang Renggam.
“Ini kerana kawasan ini akan menjadi rujukan dan pemangkin semangat bagi BN meneruskan agenda pembangunan di negeri ini,” katanya selepas Majlis Pelancaran Jentera BN Parlimen Simpang Renggam di Jalan Muafakat, Simpang Renggam malam tadi.
Yang turut hadir, Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Pengarah Operasi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam, Datuk Zakaria Dullah.
Hasni yang juga calon BN di Parlimen Simpang Renggam menegaskan, kejayaan di kawasan tersebut juga akan menjadi penanda aras bagi kemenangan di 26 kerusi yang dipertandingkan di Johor.
“Semua mata akan tertumpu di Parlimen ini kerana adanya pemimpin tertinggi negeri (bertanding) di kawasan ini.
Bekas Menteri Besar Johor tersebut yakin bahawa separuh kemenangan di negeri ini sudah menjadi milik BN berdasarkan gerak kerja yang dilakukan dengan sepenuh hati ol3h jentera parti yang ditugaskan.
“Dalam pilihan raya, ia bergantung sepenuhnya kepada jentera parti dan apa yang dapat dilihat adalah semua jentera di 26 Bahagian sudah melaksanakan tugas dengan penuh semangat dan ia adalah penyumbang kemenangan kepada calon BN,” katanya. –UTUSAN










