PETALING JAYA: Parti-parti politik harus berhati-hati dengan dapatan kajian dijalankan badan-badan tertentu dengan meramalkan kemenangan atau wakil gabungan mana yang lebih popular untuk menjadi Perdana Menteri.
Ia bagi mengelak sesebuah parti itu berada pada zon selesa menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) walhal, tinjauan awal itu tidak membawa apa-apa erti selain boleh menjadi sebaliknya apabila keputusan diumumkan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Prof. Dr. Kartini Aboo Talib berkata, dapatan kajian juga boleh dipertikaikan mengenai kumpulan sasar yang dijadikan responden kerana dikhuatiri tidak merangkumi seluruh rakyat Malaysia.
“Jadi parti politik kena hati-hati dengan kajian yang dilakukan dan jangan mudah percaya. Ia boleh dijadikan rujukan sahaja, namun, tidak boleh bergantung sepenuhnya atau menerima bulat-bulat dapatan hasil kajian yang dijalankan.
“Ketika ini, ada kajian yang dilakukan menyatakan Barisan Nasional (BN) akan menang dan diikuti Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasionl (PN). Hasil itu hanya beri gambaran semata-mata dan keputusan sebenar ialah pada 19 November.
“Setiap kali dapatan kajian didedahkan, perkara pertama yang jadi tumpuan ialah siapa dan berapa ramai responden. Kerana perkara itu sebenarnya yang beri kesan kepada hasil kajian, adakah tepat atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi semalam.
MERAMALKAN
Beliau mengulas mengenai kajian-kajian awal dilakukan oleh badan tertentu yang meramalkan parti mana dan calon daripada gabungan mana yang layak menjadi Perdana Menteri selepas PRU15.
Sebelum ini terdapat kajian daripada Ilham Centre yang menyatakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan tiga calon Perdana Menteri yang menjadi pilihan utama pengundi.
Berdasarkan unjuran awal dibuat firma penyelidik politik itu, Ismail Sabri berada di hadapan dengan sokongan 19 peratus responden pelbagai kaum, diikuti dengan Muhyiddin 13 peratus dan Anwar 11 peratus.
Selain tiga calon berkenaan, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini sedang menjalani hukuman penjara, turut menjadi salah seorang calon Perdana Menteri pilihan utama pengundi dengan sokongan 11 peratus.
Sementara itu, Pengarah Strategik Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, dapatan kajian itu tiada makna kerana keputusan sebenar terletak ditangan pengundi pada 19 November.
Katanya, perkara itu sudah terbukti pada PRU14 apabila pusat kaji selidik Merdeka Center menjangkakan BN menang besar sekali gus kekal memerintah Malaysia namun, sebaliknya yang berlaku.
“Jadi, kita kena tengok dan teliti sebaik mungkin apa yang diperolehi dalam kajian-kajian, adakah ia realiti dari hati pengundi. Perkara itu susah untuk kita ukur dan mungkin juga semasa men jawab soalan kajian itu ada kekangan tertentu yang perlu difikirkan mereka.” katanya.- UTUSAN










