SIAPA yang bakal dicalonkan Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan kerusi Parlimen Pontian masih terus menjadi teka-teki.
Calon bagi kerusi tersebut pastinya antara penyandang, Datuk Seri Ahmad Maslan yang sudah tiga penggal mewakili kawasan tersebut atau Ketua Bahagian UMNO Pontian, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad yang telah mengesahkan turut akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Hingga kini, kedua-dua pemimpin tersebut masih ‘berbincang’ siapa yang akan bertanding di kerusi tersebut.
KEKAL
Ahmad yang juga Setiausaha Agung UMNO dikatakan ingin terus kekal mewakili kawasan Parlimen berkenaan, manakala Hasni yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian yang sudah diberi ‘lampu hijau’ untuk bertanding pada PRU15 turut ingin kembali ke kerusi yang pernah diwakilinya sebelum diserahkan kepada Ahmad.
Namun, berdasarkan kenyataan Hasni yang juga bekas Menteri Besar Johor baru-baru ini bahawa beliau mungkin akan bertanding di luar ‘kawasan’ dan Ahmad terus ingin kekal di Pontian, Hasni mungkin akan bertanding di kerusi Parlimen Simpang Renggam.

Menanti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu sudah pastinya penyandang kerusi, Maszlee Malik yang juga bekas Menteri Pendidikan yang mewakili Pakatan Harapan (PH).
Pertembungan antara mereka dijangka sengit berdasarkan reputasi masing-masing. Namun, kelebihan diramal bakal memihak kepada Hasni berdasarkan rekod pencapaian beliau memimpin Johor sebelum ini.
Malah, kejayaannya mengepalai jentera BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Mac lalu membuktikan ketokohan dan strategi yang digunakan mampu menarik sokongan rakyat sehingga berjaya memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Malah, kekalahan Maszlee kepada calon BN, Abd. Mutalip Abd. Rahim dengan majoriti 2,696 undi di kerusi DUN Layang-Layang pada PRN Johor lalu turut memberi indikasi sokongan kepada beliau semakin merudum.
Namun, Maszlee telah diminta oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berjuang habis-habisan bagi mempertahankan kerusi Parlimen Simpang Renggam.
Jika Hasni dan Ahmad masih belum pasti di kerusi mana akan bertanding, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hampir pasti bertanding di Parlimen Kota Tinggi.

Sumber memberitahu Utusan Malaysia, Khaled sudah dimaklumkan mengenai keputusan tersebut.
Malah, beliau hanya menjawab ‘Insya-Allah’ sambil tersenyum ketika diajukan soalan tersebut baru-baru ini.
Senarai penuh calon BN yang akan bertanding di Johor dijadual diumumkan pada Khamis ini. – UTUSAN










