Dulukan MA63 daripada TPM – Penganalisis

Dulukan MA63 daripada TPM – Penganalisis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Melaksanakan segala perkara yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah lebih mustahak berbanding memberikan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada wakil dari Sabah dan Sarawak.

Selain memberi implikasi kewangan besar terhadap kerajaan dalam keadaan kerajaan Persekutuan baru dibentuk, pelantikan wakil rakyat ke dalam jawatan itu hanya menguntungkan individu berbanding seluruh rakyat daripada kedua-dua wilayah itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik merangkap Penyandang Kursi Penyelidikan Tan Sri Empiang Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Datuk Dr. Jayum Jawan berpandangan, jawatan Timbalan Perdana Menteri hanya ‘suapan’ (feeding) kepada pemimpin-pemimpin tertentu.

“Benar, selagi tiada lantikan dibuat, selagi itulah akan ada yang mendesak supaya jawatan ini diberikan kepada Sabah dan Sarawak. Tetapi, tiada keperluan pun dan jika tetap diberi akan menjadi polemik sebab akan ada pihak yang tidak berpuas hati.

“Yang penting sekarang urusan MA63 untuk kembalikan hak Sabah dan Sarawak yang terhakis sejak sekian lama. Tanpa jawatan ini, struktur pentadbiran kerajaan tidak terjejas. Lagipun, Perlembagaan kita tiada memperuntukkan jawatan berkenaan.

“Ini hanya satu pembaziran yang mana peruntukan kerajaan ada boleh disalurkan kepada hal yang lebih utama iaitu pengurusan pembangunan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Pensyarah Kanan Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abd. Muis berkata, sekiranya Perdana Menteri tetap memberi jawatan tersebut demi mengotakan janjinya, bidang kuasa Timbalan Perdana Menteri harus jelas dan tidak bertindih dengan jawatan utama lain.

Pun begitu, Mujibu menegaskan, pemberian jawatan Timbalan Perdana Menteri tetap tidak wajar kerana Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan jawatan itu.

“Kalau jawatan ini hanya untuk memuaskan hati tuntutan sesetengah pihak, maka tidak wajar. Namun, Perdana Menteri boleh beri bidang kuasa khusus berkenaan hal ehwal Sabah dan Sarawak, autonomi MA63 dan sebagainya yang difikirkan sesuai. Kalau setakat dilantik sahaja tetapi tiada peranan jelas, ia me­rugikan.

“Selain itu, jika banyakkan jawatan Timbalan Perdana Menteri, mungkin saiz Kabinet menjadi lebih besar sedangkan tuntutan rakyat sebelum ini ialah kecilkan saiz Kabinet,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.