PADA 2019, Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) menerbitkan 38 muka surat soal jawab (FAQ) berjudul Nilai dan Pencapaian Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).
Dalam soal jawab tersebut, Dong Zong menggariskan empat objektif iaitu menyeragamkan pentaksiran pencapaian akademik bagi setiap Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC), mewujudkan keadaan baik (laluan melanjutkan pengajian) bagi pelajar lepasan SMPC dan mendapatkan peluang pekerjaan, (menunjukkan) bukti pencapaian akademik bagi memohon kemasukan universiti tempatan dan institusi pengajian tinggi luar negara dan bukti pencapaian akademik bagi memohon kerja.
Tiada satu pun objektif ini menyebut mengenai dasar pendidikan negara seperti keperluan mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), atau perlu lulus mata pelajaran bahasa Melayu dan Sejarah. Kempat-empat objektif tersebut ialah mengenai pencapaian akademik sahaja.

Jika dirujuk kepada laman sesawangnya, Dong Zong menyatakan bahawa sejak penubuhannya pada 1954, Dong Zong berusaha gigih untuk memperjuangkan pendidikan bahasa ibunda, serta menuntut keadilan dan kesaksamaan di antara semua kaum.
Jika bahasa ibunda ini merujuk kepada bahasa Cina dan bukan bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara, ia jelas bertentangan dengan perjuangannya sendiri yang mahu menuntut keadilan antara semua kaum, sebaliknya menunjukkan bahawa ia hanya berusaha untuk meningkatkan tahap pendidikan satu kaum sahaja, bukannya untuk pendidikan semua kaum.
Dong Zong turut meletakkan visinya untuk menerajui pendidikan Cina di Malaysia ke arah pembangunan mampan, manakala misinya adalah mempertahankan dan membangunkan pendidikan Cina dan berjuang untuk kedudukan yang saksama.
Kedua-dua visi dan misi Dong Zong ini hanya menyentuh soal pendidikan Cina, bukan pendidikan kebangsaan.
Terdapat tujuh objektif lagi yang dinyatakan oleh Dong Zong dalam laman sesawangnya. Pertama, menyatupadukan ahli-ahli, mempertahankan dan membangunkan pendidikan Cina di Malaysia.
Kedua, mengkaji dan menggerakkan semua aspek berkenaan dengan pembangunan dan pembaharuan sistem pendidikan sekolah Cina di Malaysia, antaranya kurikulum, peperiksaan, guru, dana pendidikan dan sebagainya.
Ketiga, memperkukuh dan mengeratkan hubungan antara pengurus/pengelola sekolah-sekolah Cina di Malaysia. Keempat, mengeratkan hubungan masyarakat Cina di Malaysia dalam usaha menambah baik dan memperkasa pendidikan Cina.
Kelima, mewakili lembaga pengurus sekolah untuk berunding dengan kerajaan mengenai semua aspek yang melibatkan hal ehwal pendidikan dan sekolah-sekolah Cina.
Keenam, menyelaras kerjasama antara pengurus dengan guru sekolah-sekolah Cina di Malaysia dan ketujuh, memupuk keharmonian dan perpaduan antara kaum.
Daripada tujuh objektif tersebut, hanya objektif yang ketujuh sahaja yang menyentuh soal keharmonian dan perpaduan tetapi tidak menawarkan sebarang penjelasan bagaimana keharmonian dan perpaduan antara kaum itu boleh dipupuk tanpa kehadiran kaum lain dalam sistem pendidikannya.
Keenam-enam objektif lain memberikan tumpuan sepenuhnya kepada soal sistem pendidikan sekolah Cina tanpa menyentuh mengenai integrasinya dengan sistem pendidikan kebangsaan. Semuanya sama ada mengenai soal akademik atau lebih kepada mengukuhkan pendidikan untuk kaum Cina.
“Dalam sebuah negara berdaulat, sistem pendidikan bukan sekadar soal akademik semata-mata,” kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir baru-baru ini.
“Ia turut melibatkan pembinaan identiti nasional, pengukuhan perpaduan, pemerkasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta kefahaman terhadap sejarah dan kenegaraan Malaysia.
“Atas sebab itu, kerajaan tidak boleh mengubah asas sistem nasional semata-mata untuk memenuhi tuntutan mana-mana aliran pendidikan tertentu.
Sebaliknya, mana-mana aliran pendidikan yang mahu mendapat akses lebih luas ke institusi awam perlu menunjukkan kesediaan untuk bergerak dalam kerangka nasional negara ini.”
Jika berdasarkan kepada visi, misi, objektif dan perjuangan Dong Zong ketika ini, masih belum nampak sebarang usaha yang menunjukkan mereka benar-benar bersedia untuk bergerak selari dengan sistem pendidikan negara.
Malah, laluan yang diberikan oleh kerajaan baru-baru ini kepada calon UEC untuk memohon ke institut pengajian tinggi awam (IPTA) bagi kursus tertentu dalam bidang Bahasa dan Kesusasteraan Cina tetap mengundang kritikan daripada Dong Zong dalam soal keperluan pengambilan SPM.
Kritikan itu menunjukkan mereka masih tidak boleh menerima syarat yang memerlukan calon UEC mendapat kepujian dalam subjek bahasa Melayu dan lulus subjek Sejarah dalam SPM.
“Dalam hubungan ini, ketegasan terhadap Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Sejarah sebagai asas kenegaraan tidak dikompromi,” kata Zambry.
“Prinsip ini mesti dilaksanakan secara konsisten dan tidak boleh berubah hanya kerana tekanan politik atau tuntutan mana-mana pihak.”
Zambry turut mengutarakan satu persoalan, bagaimana negara mahu membina titik temu dalam masyarakat majmuk kerana pendidikan tidak boleh terus dilihat daripada sudut tuntutan kelompok tertentu atau identiti sempit semata-mata. Penyelesaiannya adalah bahasa Melayu dan sejarah negara.
“Masa depan negara memerlukan satu asas bersama yang mampu menghubungkan rakyat melalui bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, pemahaman terhadap sejarah negara serta semangat kenegaraan yang sama.
“Dong Zong juga perlu memahami universiti awam ialah institusi nasional yang tertakluk kepada dasar negara. Oleh itu, kerajaan berhak menetapkan syarat tertentu demi menjaga standard pendidikan, keharmonian sistem dan kepentingan jangka panjang negara,” kata Zambry.
Seruan Kementerian Pendidikan Tinggi tidak terhad kepada Dong Zong dan UEC semata-mata tetapi juga kepada semua aliran pendidikan yang wujud di negara ini termasuk pendidikan tahfiz.
“Isu UEC dan pendidikan tahfiz perlu dialihkan daripada pertentangan ideologi kepada penyelesaian dasar yang lebih pragmatik dan berorientasikan masa depan,” kata Pensyarah di Jabatan Pemajuan Profesional dan Pendidikan Lanjutan, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Ismi Arif Ismail.
“Fokus sebenar bukan siapa lebih dominan dalam sistem pendidikan negara, tetapi bagaimana semua aliran pendidikan dapat menyumbang kepada pembentukan warga Malaysia yang berdaya saing, mempunyai identiti nasional yang kukuh dan mampu menghadapi cabaran global,” katanya.
Ini bermakna, setiap murid dari semua jenis aliran pendidikan di negara ini perlu mengambil mata pelajaran bahasa Melayu dan Sejarah dalam peperiksaan SPM, tidak kira kaum, agama dan latar belakang. Tiada pengecualian atau kompromi. Barulah sistem pendidikan negara adil dan saksama. – UTUSAN
OMAR Zin ialah wartawan Utusan Malaysia.










