MELAKA: Keputusan DAP untuk tidak meletakkan calon di kerusi Parlimen Alor Gajah adalah selepas mempertimbang beberapa faktor termasuk potensi kemenangan calon daripada Parti Amanah Negara (Amanah).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, pencalonan bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari di kerusi berkenaan juga bukan bermakna DAP ‘gentar’ berdepan calon Barisan Nasional (BN), selepas MCA berpindah ke kerusi Parlimen Tangga Batu.
Katanya, parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) memiliki semangat berpasukan yang tinggi, tambahan pula semua calon yang diletakkan bertanding atas tiket PH.
“Kita masuk bertanding sebagai satu pasukan. Selepas kajian dilakukan, kita putuskan untuk letakkan calon yang mempunyai peluang menang lebih tinggi.
“Apabila berada dalam satu pakatan, kita mesti ada semangat tersebut dan tidak boleh mementingkan diri sendiri. Perlu lihat gambaran yang lebih besar dan menyeluruh.
“Selain itu, PH tidak tahu MCA akan pergi ke Tangga Batu ketika pengumuman calon dibuat. Kita umum dulu, selepas itu baru BN umum calon. Jadi tidak timbul isu DAP serah kerusi kepada Amanah disebabkan MCA bertanding di Tangga Batu,” katanya ketika dihubungi semalam.
Terdahulu, PH mencalonkan Adly yang juga Naib Presiden Amanah di Parlimen Alor Gajah yang selama ini merupakan kerusi tradisi pertembungan antara DAP dengan MCA.
BN pula mempertaruh calon muda yang juga Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan manakala Perikatan Nasional (PN) mengekalkan penyandang kerusi berkenaan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof.
Pada PRU14, Mohd. Redzuan yang bertanding atas tiket PKR mewakili PH menang dengan majoriti 6,980 undian menewaskan calon BN, Wong Nai Chee dan calon Pas, Nazree Aris yang turut kehilangan deposit.
Sebelum itu, pada PRU13, Parlimen Alor Gajah dimenangi calon BN, Datuk Koh Nai Kwong dengan majoriti besar 11,597 undian dalam pertembungan dua penjuru menewaskan calon DAP, Damian (Baba) Yeo. – UTUSAN










