387 kompaun dikenakan terhadap pemilik iklan gergasi - Utusan Malaysia

387 kompaun dikenakan terhadap pemilik iklan gergasi

TEO Kok Seong ketika menjawab soalan dalam sesi pertanyaan lisan pada hari ketiga Persidangan Keempat (Belanjawan), Penggal Kelima DUN Negeri Sembilan Ke-14 di Seremban, hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak 387 kompaun telah dikenakan oleh pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS) kepada pemilik-pemilik papan iklan gergasi di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) yang berada di kawasan pihak berkuasa tempatan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri Sembilan, Teo Kok Seong berkata, kompaun atas kesalahan tidak mempunyai lesen itu dikeluarkan sejak tahun 2020 sehingga bulan Oktober tahun ini.

“Tindakan penguatkuasaan billboard ini merujuk kepada punca kuasa Akta 133, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974, Seksyen 35 (Tanda Langit).

“Pihak pejabat dan tanah daerah juga telah mengambil tindakan penguatkuasaan melalui notis dan operasi perobohan secara bersepadu,” katanya semasa sesi pertanyaan lisan  Persidangan Keempat (Belanjawan), Penggal Kelima, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-14 di sini.

Beliau menjawab soalan Ng Chin Tsai (PH-Temiang) yang ingin mengetahui jumlah kompaun dikeluarkan kepada pemilik-pemilik papan iklan gergasi sepanjang Lebuhraya Utara Selatan yang tiada lesen daripada pihak berkuasa tempatan.

Kok Seong dalam pada itu turut memaklumkan, notis kepada pihak pengiklan dan juga pemilik tanah turut telah dikeluarkan bagi mengelak iklan gergasi tersebut dibina secara haram. 

“Ia bagi mengelakkan insiden di mana papan iklan gergasi itu tercabut akibat ribut dan tercampak di kawasan lebuh raya,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau memaklumkan, sebanyak 8,748 kes usikan pemasangan meter Tenaga Nasional Bhd. (TNB) telah direkodkan bermula tahun 2018 sehingga bulan Oktober tahun ini di negeri ini yang melibatkan anggaran kerugian melebihi RM93 juta.

“Daerah Seremban merekodkan kes yang tertinggi dengan 5,986 kes dan jumlah kerugian sebanyak RM71.243 juta diikuti daerah Port Dickson sebanyak 1,342 kes dengan kerugian sebanyak RM13.847 juta. Daripada jumlah kes tersebut, sebanyak 423 kes telah dibawa ke mahkamah untuk didakwa.

“Sebanyak 1,771 kes kecurian air juga telah diambil tindakan dari tahun 2018 sehingga 2022 melibatkan anggaran nilai kerugian sebanyak RM3 juta. Sebanyak 20 kes berkenaan curi air yang telah didakwa di mahkamah dan diambil tindakan kompaun oleh pihak SPAN sejak tahun tahun 2015 sehingga 2022,” katanya.

Kok Seong berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Chew Seh Yong (PH-Lobak) berkenaan jumlah kes curi air dan elektrik di negeri ini dari tahun 2018 sehingga kini dan nilai kerugiannya serta jumlah kes yang telah didakwa di mahkamah.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.