ALOR SETAR: Seramai 13 daripada 15 penyandang Ahli Parlimen di Kedah kekal disenaraikan parti masing-masing bagi mempertahan kerusi mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Lima daripada mereka adalah daripada Pakatan Harapan (PH), tiga calon mewakili Perikatan Nasional (PN) dan dua lagi adalah penyandang daripada Barisan Nasional (BN).
Tiga lagi penyandang adalah daripada Gerakan Tanah Air (GTA) yang sebelum ini menang pada PRU14 atas tiket PH iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad (Langkawi), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun) dan Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu).
BN kekal menyenaraikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid di Padang Terap dan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim di Baling.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Awang Hashim dikekalkan PN untuk mempertahan kerusi Pendang bersama-sama Ahmad Tarmizi Sulaiman dan Sabri Azit masing-masing di Sik dan Jerai.
Sementara itu, PH hanya menggugurkan dua penyandang mereka iaitu Chan Ming Kai (PKR) di Alor Setar dan bekas Pengerusi PKR negeri, Datuk Johari Abdul di Sungai Petani.
Mereka bagaimanapun mengekalkan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Kulim Bandar Baharu; Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena); Dr. Azman Ismail (Kuala Kedah); Nor Azrina Surip (Merbok) dan M. Karupaiya (Padang Serai).
Dalam pada itu, BN Kedah menampilkan tujuh muka baharu bagi memberi saingan pada PRU15 antaranya bekas pegawai kanan kerajaan negeri, Datuk Armishah Siraj di Langkawi; Setiausaha Pemuda UMNO, Datuk Hasmuni Hassan (Kubang Pasu) dan Noran Zamini Jamaludin (Pokok Sena).
Turut disenaraikan ialah Timbalan Ketua Pemuda MCA, Tan Chee Hiong di Alor Setar; Ketua Wanita UMNO Bahagian Sik, Maizatulakmam Othman (Sik); Pengarah Komunikasi BN Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin (Merbok) dan Ketua UMNO Bahagian Kulim Bandar Baharu, Datuk Moha Hussain (Kulim Bandar Baharu).
BN sekali lagi meletakkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan timbalannya, Datuk Othman Aziz masing-masing di Jerai dan Jerlun, selain Datuk Shahanim Mohamed Yusoff di Sungai Petani.
Gabungan itu turut membuat kejutan apabila menyenaraikan semula bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mashitah Ibrahim di Kuala Kedah selain membawa bekas Ahli Parlimen Cameron Highland, Datuk C. Sivarraajh ke Padang Serai.
Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Suraya Yaacob antara empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang akan berentap di peringkat Parlimen bersama tiga lagi ADUN PN iaitu Datuk Ku Rahman Ku Ismail di Kubang Pasu; ADUN Lunas, Datuk Azman Nasruddin (Padang Serai) dan ADUN Sidam, Robert Ling Kui Ee (Sungai Petani).
PN juga menamakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Kedah, Datuk Suhaimi Abdullah di Langkawi dan Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahya di Pokok Sena serta Ketua Pemuda Pas Kedah, Nurul Amin Hamid di Padang Terap.
Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Afnan Hamimi Taib Azamudden diletakkan untuk bertanding di Alor Setar manakala bekas Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (Kuala Kedah); Dr. Abd. Ghani Ahmad (Jerlun); Mohd. Nazri Abu Hassan (Merbok); Hassan Saad (Baling) dan Roslan Hashim (Kulim Bandar Baharu). – UTUSAN










