REMBAU: Universiti-universiti awam di negara ini perlu kreatif mencari jalan penyelesaian termasuk dalam berkaitan isu penyediaan kediaman pelajar dan tidak hanya bergantung kepada peruntukan kerajaan.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Ahmad Masrizal Muhammad berkata, pihak kementerian tidak dapat membantu sepenuhnya dalam soal tersebut dan pihak universiti harus mempunyai keupayaan dalam menyelesaikan masalah berkaitan pelajar mereka.
Jelas beliau, setiap universiti awam kini sudah mempunyai bidang korporatnya sendiri yang dilihat sudah tiba masanya memainkan peranan aktif memberikan komitmen masing-masing.
“Ada 20 buah universiti awam kesemuanya dan bukanlah mudah kerajaan untuk memberikan peruntukan khusus berkaitan isu ini.
“Universiti awam yang ada, terutamanya yang baharu, mempunyai keluasan tanah yang besar. Sudah tiba masanya mereka membuat bekerjasama dengan pihak swasta bagi menyelesaikan masalah penempatan ini,” katanya kepada pemberita pada Program Bicara Tokoh 9.0 di Dewan Biduanda, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Rembau, di sini semalam.
Ahmad Masrizal berkata, keperluan untuk kerajaan menyediakan peruntukan pembangunan untuk membina kemudahan penempatan buat pelajar universiti awam merupakan sesuatu isu yang genting.
“Negara memerlukan satu formula yang baharu dan insya-Allah melalui bajet yang akan dibentangkan nanti, walaupun mungkin tidak menyentuh secara langsung kepada persoalan ini, tetapi ia akan memberi satu penyelesaian kepada permasalahan tersebut,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, tidak wajar timbul rasa ketidakyakinan orang ramai terhadap universiti-universiti awam dan para pensyarahnya ekoran terdapat isu gangguan seksual seperti yang dilaporkan.
Jelasnya, kes berkenaan merupakan kes terpencil yang tidak boleh dibuat kesimpulan bahawa pensyarah universiti awam tidak boleh dipercayai ataupun mempunyai elemen negatif.
“Saya mahu beritahu masyarakat, jangan rasa tidak yakin dengan universiti awam dan pensyarah-pensyarah yang ada. Kementerian ada dasar-dasar berkaitan salah laku ini yang boleh menjamin bahawasanya anak-anak mereka akan selamat berada di kampus,” tegasnya. – UTUSAN










