UMNO: Pas tentukan pendirian esok

UMNO: Pas tentukan pendirian esok

HASHIM JASIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Pas akan bermesyuarat esok bagi memuktamadkan hu­bungan kerjasama dengan UMNO dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, Pas bagaimanapun lebih cenderung untuk berkawan de­ngan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke­rana tidak mahu hubungan itu terputus.

“Tidak timbul soal perlu pilih salah satu sama ada UMNO atau Bersatu kerana sikap Pas adalah berkawan dengan semua.

“Saya harap mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat (Sabtu ini) akan bincang dan cari kaedah terbaik bukan terpaksa memilih salah satu (UMNO atau Bersatu). Kita hendak kawan dua-dua bukan hendak bergaduh,” katanya.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, Pas akan memuktamadkan kerjasama dengan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN) atau Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu, Sabtu ini.

Dalam laporan itu, seorang pimpinan Pas yang tidak mahu mendedahkan namanya dilaporkan sebagai berkata, segala polemik berhubung kedudukan Pas dalam MN akan terungkai dalam mesyuarat kepemimpinan tertinggi parti itu nanti.

Sebelum ini, Pas dikatakan sedang mempertimbang syarat-syarat dikemukakan UMNO sebelum ini dan akan membuat keputusan sama ada terus bersama Bersatu dalam PN atau sebaliknya sebelum mengharungi PRU15.

Ini setelah UMNO meletakkan tiga syarat kepada Pas jika ingin kembali menjalin kerjasama politik menerusi gabungan MN iaitu Pas perlu keluar daripada PN, memutuskan hubu­ngan politik dengan Ber­satu dan mengumumkan secara rasmi bahawa mereka ‘mufa­rakah’ 100 peratus daripada PN dan Bersatu.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, di sebalik syarat tersebut, partinya menghargai pendirian Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menzahirkan keterbukaan kedua-dua parti itu dalam usaha memulihkan agenda pe­nyatuan ummah berikutan pertemuan dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada 17 September lalu.

Kata Takiyuddin, Pas akan mengambil sikap mengkaji secara mendalam keterbukaan UMNO dalam hal ini dan membuat keputusan muktamad sebelum hujung minggu ini dengan mengambil kira aspek maslahah yang lebih besar serta mudarat (risiko) yang paling ringan.

Mengulas lanjut, Hashim berkata, Pas yang akan menentukan pendirian berdasarkan aspek mudarat besar serta mudarat kecil dalam menjalinkan kerjasama politik itu.

“Konsep itu apabila kita menghadapi dua masalah yang mana paling ringan bahayanya. Sekarang ini, UMNO suruh kita putus dengan Bersatu, manakala Bersatu pula anggap UMNO sebagai musuh. Dua perkara ini dihadapan kita.

“Kalau ikut kaedah mana le­bih ringan, dua-dua itu berat, jadi kita pilih hendak kawan dua-dua,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN