KOTA KINABALU: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara tiga parti utama di Sabah.
Setakat ini, Parti Warisan (Warisan) sudah menyatakan hasrat akan mempertahankan kerusi DUN yang dimenangi parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020 itu.
Difahamkan, tujuh calon disenaraikan untuk mewakili Warisan pada PRK DUN Bugaya yang akan diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.
Namun sehingga kini, Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal masih belum mendedahkan nama calon yang akan bertanding di DUN Bugaya.
Selain Warisan, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) juga dijangka meletakkan calon di kerusi DUN berkenaan.
Nama Ketua Pemuda UMNO Bahagian Semporna, Mohammad Suffian OKK Pg Hindi, 38, antara yang disebut-sebut akan mewakili BN di DUN Bugaya dan pengumuman rasmi akan dilakukan oleh Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohammad Suffian berkata, sekiranya dicalonkan, beliau bersedia untuk berhadapan dengan pihak lawan sama ada dari Warisan mahupun PH.
“Sudah tentu pihak lawan seperti Warisan meletakkan keyakinan tinggi memandangkan presiden parti mereka berada di Parlimen Semporna. Itu cabaran yang kita akan hadapi.
“Jadi, bagi menepis persepsi sebegitu, kita mempunyai strategi sendiri bagi meyakinkan pengundi di kawasan Bugaya agar memilih parti yang boleh membawa kestabilan.
“Pada pilihan raya ini, kita perlu bagi kefahaman kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang stabil dan satu-satunya parti yang boleh membawa kestabilan adalah BN,” katanya.
Sebelum ini Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dikatakan akan bertanding di DUN Bugaya namun, selepas mencapai persetujuan untuk bekerjasama maka, hanya BN akan bertanding di kerusi berkenaan dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan memberi sokongan.
Kerusi DUN Bugaya kosong sejak penyandangnya Manis Muka Mohd. Darah meninggal dunia akibat masalah buah pinggang pada 17 November 2020.
Namun, PRK Bugaya ditangguhkan sejak Januari 2021 ekoran pengisytiharan darurat oleh kerajaan dan deklarasi darurat di DUN Bugaya ditamatkan pada 7 Oktober lalu. – UTUSAN








