Rundingan bekal sistem meriam SPH masih berjalan

Rundingan bekal sistem meriam SPH masih berjalan

HISHAMMUDDIN Hussein bersama Pasukan Khas Pertahanan ketika sesi lawatan ke Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dakwaan tender pembekalan sistem meriam artileri jenis self-propelled howitzer (SPH) Tentera Darat (TD) bernilai RM854 juta kepada syarikat baharu tidak benar.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, proses perundingan masih berjalan dan tidak seperti yang didakwa dan tersebar ketika ini.

Menurut beliau, pendedahan berkenaan sistem meriam SPH itu adalah cubaan untuk menimbulkan kekeruhan dan keraguan kepada pihak Kementerian Pertahanan (Mindef).

“Saya boleh nyatakan di sini bahawa sistem meriam SPH ini kita belum beri lagi (kepada mana-mana syarikat) dan proses rundingan antara Mindef dan Kementerian Kewangan (MOF) masih diteruskan.

“Dalam landskap politik hari ini akan ada macam-macam benda yang diluahkan. Saya minta semua rakyat bertenang dan benarkan proses berjalan seperti biasa,” kata beliau pada sidang akhbar selepas lawatan kerjanya ke Kem Perdana Sungai Besi di sini semalam.

Terdahulu, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendedahkan sebuah syarikat yang tiada pengalaman dalam industri pertahanan dan baru ditubuhkan kurang dua tahun memperoleh tender pembekalan aset senjata ATM tersebut.

Rafizi memaklumkan, beliau sendiri sudah membuat semakan dan mengkaji berkenaan perolehan tender sistem meriam SPH selama berbulan-bulan sebelum mendedahkannya kelmarin.

Bekas Ahli Parlimen Pandan itu juga menyatakan Mindef membuat permohonan kepada MOF supaya perolehan tender sistem meriam SPH dilaksanakan mengikut tender terhad.

Bagaimanapun, lapor orang kuat PKR itu lagi, permohonan tersebut ditolak oleh wakil Bahagian Perolehan Kerajaan.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, sebelum ini surat-surat antara kementerian adalah rahsia tetapi kini sesuatu perkara itu tidak lagi boleh disorok.

“Ini menjadi satu perkara yang perlu kita lihat di Mindef. Setakat proses mahu memberikan projek bagi saya tak risau sangat tetapi sekiranya maklumat-maklumat rahsia berhubung kait dengan perkara, peralatan dan boleh menjejaskan kesiapsiagaan kita bocor kepada musuh-musuh, itu lebih membimbangkan.

“Bagaimana ia boleh bocor sebelum proses tamat, wallahualam,” katanya.

Sementara itu, Hishammuddin turut memaklumkan bahawa Mindef mengambil pengajaran daripada isu sebelum ini iaitu projek perolehan kapal tempur pesisir pantai (LCS) supaya perkara sama tidak berulang.

“Cadangan-cadangan daripada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sedang kita teliti, kalau ada kebaikan kita akan laksanakan.

“Sebab itu saya lihat yang penting adalah proses, kita perlu tambah baik mengikut pengalaman kita lalui. Sebab itu pertimbangan di antara keselamatan pertahanan dan keterbukaan ada had serta batasannya,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN