PRU15: YB Sham tidak pertahan DUN Simpang Empat

PRU-15: YB Sham tidak pertahan DUN Simpang Empat

NURULHISHAM YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Empat, Nurulhisham Yaakob memberi bayangan tidak mempertahan kerusi berkenaan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurut Nurulhisham, kebiasaannya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) di negeri ini hanya dipilih untuk dua penggal sahaja dan beliau telah melebihi tempoh perkhidmatan berkenaan.

Katanya, bagaimanapun beliau akan terus memberi sumbangan kepada parti dan masyarakat selepas ini walaupun tidak lagi bergelar wakil rakyat.

“Sekarang pun saya masih pengerusi dalam beberapa badan antaranya Persatuan Permainan Tradisional dan kita akan terus memberi sumbangan kepada parti dari semasa ke semasa mengikut keperluan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Rezeki Ternak Unggas dan Projek Pertanian Organik Ternakan Peringkat Negeri Perlis di Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri di sini hari ini.

Nurulhisham merupakan penyandang kerusi DUN berkenaan sejak dua penggal lalu.

Dalam PRU13, beliau menang menewaskan calon Pas dengan majoriti 85 undi dan pada PRU14 beliau mengekalkan kemenangan di kerusi berkenaan dengan majoriti lebih tipis iaitu 82 undi.

Sementara itu, penyandang kerusi DUN Pauh, Rozieana Ahmad ketika diminta mengulas mengenai penyertaan calon Parti Warisan Sabah (Sabah), Khalid Ahmad yang mengesahkan bakal bertanding di situ berkata, beliau berharap pengundi kawasan itu lebih terbuka minda bagi memilih pemimpin yang dapat membawa kemajuan buat rakyat.

“Kerajaan BN hari ini sangat relevan dan saya yakin gabungan ini akan menang walau siapa calon bertanding di sana,” katanya.

Kata Rozieana, semua jentera BN dan Jalinan Rakyat (JR) di kawasan itu telah bekerja sehabis baik bagi menghadapi PRU15.

Tambahnya, pemilihan calon muda bagi mewakili parti itu juga dapat menjadi tarikan pengundi namun golongan berkenaan harus dipilih dalam kalangan mereka yang bekerja buat parti.

“Terdapat antara pemimpin sedia ada juga masih mampu melaksanakan tugas asalkan mereka kreatif, proaktif dan boleh melakukan tugas diamanahkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN