'PRU15 segera elak negara berdepan kemelesetan ekonomi global'

PRU15 segera elak negara berdepan kemelesetan ekonomi global – Ahmad Zahid

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) didakwa amat penting untuk berlangsung sekarang kerana negara sedang kesuntukan masa bagi berdepan kemelesetan ekonomi global yang diramalkan tahun depan. 

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ramalan kemelesetan ekonomi dunia pada tahun 2023 bukan direka-reka oleh BN, sebaliknya berdasarkan pelaporan organisasi kewangan dan ekonomi antarabangsa.  

“Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) tiga bulan lalu mengunjurkan prospek ekonomi global ‘menjadi gelap dengan ketara’ sejak April 2022 dan meramalkan dunia berdepan kemelesetan ekonomi tidak lama lagi. 

“Agensi itu malah dikatakan akan menurunkan ramalan pertumbuhan ekonomi global tahun ini buat kali ketiga dan pakar ekonomi IMF dilaporkan mahu memuktamadkan angka baharu. Sebuah institut pelaburan terkemuka berpangkalan di Amerika Syarikat pula meramalkan kemelesatan ekonomi dunia mungkin berlaku lebih awal iaitu pada penghujung tahun ini. 

“Ini bermaksud hanya berbaki tempoh kurang tiga bulan sebelum ‘kemelesetan’ yang akan menjejaskan kebanyakan negara bermula atau lebih teruk ia mungkin terjadi seawal Disember tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata, negara amat memerlukan sebuah kerajaan stabil dan kukuh yang mampu bergerak sehaluan dalam mengatur langkah dan strategi berkesan untuk melindungi Malaysia daripada impak buruknya. 

Beliau berkata, ini kerana sejarah Malaysia sesudah PRU14 berakhir pada 9 Mei 2018 membuktikan tiada gabungan politik selain BN memiliki kemampuan tersebut. 

Katanya, ini kerana negara sudah melalui pengalaman yang amat memeritkan sepanjang tempoh yang disifatkan beliau gagal iaitu selama 22 bulan dibawah Pakatan Harapan (PH) dan 17 bulan dibawah Perikatan Nasional (PN). 

“Negara di bawah pentadbiran PH memiliki sebuah kerajaan cacamarba, tidak tersusun dan lebih mengutamakan agenda politik berbanding kepentingan rakyat dan negara. Pentadbiran negara jadi bersimpang-siur dengan setiap parti politik dalam kerajaan mentadbir portfolio Kabinet masing-masing mengikut agenda dan fahaman sendiri.

“Negara di bawah pentadbiran kerajaan PN disertai sebilangan wakil rakyat BN, namun diketuai pemimpin politik bermuslihat menamatkan lawan politik bagi mengukuhkan kedudukan. 

“Malaysia dengan kewujudan kerajaan campuran ketika ini menyaksikan Perdana Menterinya (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) tidak dihormati, malah diserang dan cuba dilemahkan anggota pentadbiran daripada parti lain,” katanya. 

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, BN yakin rakyat akan memberi sokongan kuat kepada gabungan politik itu untuk kembali membentuk kerajaan dominan. 

Ujarnya, ini kerana BN pernah membuktikan kemampuannya mengurus ekonomi negara. 

“Semoga harapan rakyat supaya mandat dikembalikan kepada mereka untuk memulihkan negara jadi kenyataan dan kepada Allah kita berserah selepas segala daya upaya,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×