TAPAH: Barisan Nasional (BN) Perak tidak tergugat dengan ‘ancaman’ Pakatan Harapan (PH) yang menyasarkan Perak sebagai barisan hadapan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sasaran PH itu tidak memberi masalah kepada BN yang membuat persiapan rapi dan maksimum bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
“Dia (Nga Kor Ming) baru mahu jadikan ‘frontline state’ bagi PH, (sedangkan) BN sepanjang masa jadikan Perak sebagai ‘frontline’.
“Tiada masalah jika mereka sasarkan Perak. InsyaAllah, kita mempunyai keyakinan, kita boleh memenangi Perak,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Daerah dan Tanah Batang Padang di sini hari ini.
Saarani berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming menerusi portal berita yang menjadikan Perak sebagai benteng hadapan PH pada PRU15.
Menurut Kor Ming, langkah itu penting untuk mencapai sasaran menubuhkan koridor PH di pantai barat Semenanjung selepas berjaya menguasai Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
Dalam perkembangan berlainan, Saarani yang juga Pengerusi UMNO Perak berkata, BN dalam proses memperhalusi bakal-bakal calon yang akan bertanding mewakili parti itu pada PRU-15.
Katanya, perkara itu sebagai persiapan akhir parti selepas DUN Perak dibubarkan berkuat kuasa hari ini.
“BN Perak bersiap sedia sejak kita kalah pada 2018 lagi (PRU-14), daripada masa ke semasa kita buat persiapan yang rapi dan persiapan itu sampai kepada tahap yang maksimum seperti mana kita selalu sebutkan, kita sentiasa bersiap sedia,” katanya.
Terdahulu, dalam sidang akhbar sama, Saarani mengumumkan pembubaran DUN Perak ke14 bagi memberi laluan kepada PRU15.
Pembubaran itu dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah. –UTUSAN










