PN ketandusan pemimpin berwibawa - Utusan Malaysia

PN ketandusan pemimpin berwibawa

NUR JAZLAN MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Perikatan Nasional (PN) dilihat ketandusan pemimpin yang berwibawa setelah Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dinamakan calon Perdana Menteri PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, pengumuman itu membuktikan PN hanya mampu mempertaruhkan pemimpin lama kerana tidak mempunyai calon lain yang lebih berwibawa.

Sehubungan itu, katanya, PN tidak mempunyai pilihan lain selain mengkitar semula Muhyiddin sebagai poster boy dan calon Perdana Menteri bagi PN.

“Nampak sangat PN tak ada calon berwibawa dan layak untuk dipromosikan sebagai calon Perdana Menteri. Kenapa Pas tak cadangkan Tan Sri Abdul Hadi Awang saja jadi Perdana Menteri? Mungkin pemimpin dan ahli Pas sendiri tak yakin Abdul Hadi mampu jadi seorang Perdana Menteri. 

“Mungkin level jadi paling tinggi pun setakat jadi presiden parti sahaja. Atau pun Muhyiddin dan Bersatu memang pun tak nak bagi laluan kepada wakil Pas untuk jadi peneraju sebab Bersatu tetap mahu jadi Abang Besar dalam PN,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Semalam, PN sekali lagi mengesahkan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri ke-10 jika gabungan itu memenangi PRU15.

Timbalan Pengerusi PN, Datuk Dr. Dominic Lau yang juga Presiden Gerakan berkata, tiga parti komponen termasuk Bersatu dan Pas sepakat terhadap ketetapan memilih Pengerusi PN itu sebagai Perdana Menteri.

“Kita menang PRU15 dan sediakan kerajaan melalui mandat yang diberikan rakyat dan untuk rakyat….kita akan angkat Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke-10,” katanya di sini semasa berucap pada majlis pelancaran jentera pilihan raya PN Pahang di Kompleks Al-Makmur di Kerdau, malam tadi.

Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai beranggapan bahawa Muhyiddin masih bercita-cita untuk menjadi Perdana Menteri kali kedua seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad. 

Sementara itu, beliau turut menempelak tindakan Pas yang bersikap sombong, ego, tamak dan besar kepala apabila enggan memenuhi tiga syarat UMNO sekali gus melenyapkan peluang kerjasama.

“UMNO sudah berikan peluang terakhir tapi pemimpin Pas tetap dengan perangai kurang bijaknya. UMNO tekad bergerak solo dan memperkukuhkan perpaduan dalam BN untuk mendepani PRU15 ini. 

“UMNO tak mahu lagi pandang ke belakang, biarlah Pas habiskan sisa hidupnya dengan Bersatu dan Gerakan dalam PN. Biarlah PAS terus hanyut dengan laungan retorik Perpaduan Ummah yang hanya rekaan politik semata-mata,” ujarnya. 

Katanya, UMNO pula akan terus fokus kepada PRU15 untuk mengembalikan kebajikan rakyat dan memperkukuhkan kembali kedudukan negara selepas PRU15. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya