PETALING JAYA: Parti atau mana-mana gabungan politik perlu menang sekurang-kurangnya 130 kerusi Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi membentuk sebuah kerajaan kukuh dan stabil sekali gus berupaya menarik semula keyakinan pelabur bagi mendepani fasa ekonomi yang kian mencabar pada tahun 2023.
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebelum ini meramalkan pertumbuhan ekonomi dunia akan menurun daripada 6.1 peratus (2021) kepada 3.2 peratus (2022) dan 2.9 peratus (2023), sekali gus menjadi petanda awal ekonomi dunia meleset tahun depan.
Perkara itu amat penting bagi mengelakkan ketidakstabilan kerajaan seperti mana pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang menyaksikan pertukaran tiga Perdana Menteri apabila tiada parti mampu mendapat majoriti mudah sehingga terpaksa mewujudkan kerajaan campuran sama ada melibatkan bersama rakan sekutu ataupun pihak lawan.
RAPUH
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin berkata, pembentukan kerajaan majoriti mudah berasaskan ikatan yang rapuh, bukan sahaja tidak stabil malah berisiko dijatuhkan pada bila-bila masa.
Katanya, meskipun negara mempunyai Akta Antilompat Parti bagi menghalang wakil rakyat menyertai parti lain, undang-undang tersebut tidak menghalang parti dalam kerajaan menarik sokongan.
Justeru, beliau berpandangan, parti yang bertanding perlu menang dengan majoriti besar sekali gus berupaya membentuk sebuah kerajaan yang stabil tanpa mengulangi peristiwa dua kali pertukaran kerajaan dan tiga perdana menteri dalam satu penggal.
“Formula kerajaan yang stabil ialah sebelum PRU14 di mana parti pada waktu itu (Barisan Nasional) menang dengan selesa. Misalnya Pilihan Raya Umum Ke-11, apabila kerajaan BN pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi dianggap paling stabil apabila menang dua pertiga dan menguasai 90 peratus kerusi Parlimen.
“Bagaimanapun bermula PRU12, BN sudah lagi tidak menguasai dua pertiga. Walaupun menjadi kerajaan majoriti mudah, namun masih stabil kerana BN menang lebih 130 kerusi,” katanya.
Pada 2018, BN julung kali tewas selepas 60 tahun memerintah negara apabila hanya meraih 79 kerusi manakala lawannya ketika itu menggunakan tiket PKR mendapat 113 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen.
“Namun, kerajaan PH yang dibentuk daripada keputusan majoriti mudah dan berasaskan ikatan yang rapuh, tidak bertahan, akhirnya menjadi sebuah kerajaan tak stabil dan runtuh,” katanya.
Pensyarah Kanan City University Malaysia, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, silih ganti peralihan pentadbiran sejak PRU14 menghakis keyakinan para pelabur asing apabila dasar kerajaan yang berubah-ubah mengikut perancangan pihak pemerintah.
Beliau melihat PRU15 amat dinantikan para pelabur apabila mereka hanya tunggu dan dilihat untuk memasuki Malaysia untuk melabur selepas melihat dasar kerajaan baharu yang bakal dirangka kelak.
Katanya, kestabilan politik merupakan asas penting kepada keyakinan pelabur dan pengukuhan ekonomi setelah melihat keupayaan pentadbiran untuk membentuk dasar tetap dan tidak berubah. – UTUSAN










