Penuntut OKU teruja masuk UTM - Utusan Malaysia

Penuntut OKU teruja masuk UTM

Nur Hanis Zainalabidin ditemani ibu bapanya, Zainalabidin Reduan dan Ramlah Musa ketika mendaftar masuk ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor Bahru di sini hari ini-UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Beberapa penuntut dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) turut teruja memulakan sesi pengajian apabila mendaftar masuk di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, di sini hari ini.

Seorang penuntut, Nur Hanis Zainalabidin, 19, mengakui gementar namun tetap gembira untuk memulakan fasa baharu dalam hidupnya apabila mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Psikologi dan Pembangunan Sumber Manusia.

“Rasa teruja dan gementar, takut juga sebenarnya dengan persekitaran baharu kerana walaupun sudah biasa dengan sekolah menengah, tetapi suasana di universiti berlainan.

“Bukan sahaja saiz kampus yang besar, tetapi ini pertama kali saya tinggal di hostel dan berjauhan daripada keluarga. Jadi, macam-macam yang saya rasakan ketika ini,” katanya ditemui selepas sesi pendaftaran penuntut baharu UTM, hari ini.

Nur Hanis dilahirkan dengan menghidap masalah ‘pseudo achondroplasia’, iaitu masalah ketumbuhan yang menyebabkan badannya kelihatan seperti kanak-kanak dan walaupun sudah berusia 19 tahun.

Anak bongsu daripada empat beradik memberitahu, dia akan cepat berasa penat sekiranya perlu berjalan terlalu jauh sehingga boleh menyebabkan demam.

“Saya memerlukan tongkat untuk membantu berjalan, lebih lagi apabila melibatkan jarak yang jauh atau perlu menaiki tangga yang tinggi, saya perlu berhenti untuk berehat sebentar,” katanya yang berasal dari Parit Sulong, Batu Pahat.

Seorang lagi penuntut OKU, Nur Billahizzah Razib, 20, turut tidak sabar untuk memulakan kehidupan sebagai seorang mahasiswa yang mengikuti Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan Sumber Manusia.

Dia yang menghidap penyakit ‘cerebral palsy’ melibatkan saraf tulang belakang juga enggan melihat kekurangan yang dihadapinya sebagai penghalang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Penyakit yang dihadapi ini menyebabkan saya cepat berasa penat dan badan juga akan berasa lenguh-lenguh, tetapi saya tidak mahu menjadikan itu sebagai alasan untuk tidak sambung belajar.

“Saya juga masih perlu menjalani pemeriksaan kesihatan setahun sekali di hospital kerajaan,” jelasnya yang berasal dari Seri Medan, Batu Pahat.

Sementara itu, Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Ahmad Fauzi Ismail berkata, seramai 3,558 penuntut baharu peringkat Ijazah Sarjana Muda Sepenuh Masa mendaftarkan diri di dua kampusnya, iaitu di sini dan Kuala Lumpur, hari ini.

Daripada jumlah itu, seramai 3,401 penuntut mendaftar diri di kampus UTM Skudai, manakala 157 orang di kampus UTM Kuala Lumpur. Mereka terdiri daripada 1,638 penuntut lelaki dan 1,920 wanita yang akan mengikuti 58 program di 12 fakulti termasuk seramai 567 penuntut antarabangsa dari 35 negara, antaranya Bangladesh, Brunei, China, Ecuador, Indonesia, Mesir, Pakistan dan Yemen,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya