KOTA BHARU: Seorang mahasiswa yang juga cucu kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat atau Tok Guru Nik Aziz membuat laporan polis selepas mendakwa ditampar oleh seorang senator ketika menghadiri satu program di Janda Baik, Pahang pada 20 Mei lalu.
Nik Alif Aiman Abdul Ariffahmi membuat laporan berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada Sabtu lalu.
Menurutnya, kejadian didakwa berlaku kira-kira pukul 6 petang semasa Program Pemerkasaan Bangsa 2.0 anjuran sebuah universiti tempatan yang turut dihadiri pengurusan universiti serta wakil pelajar.
Katanya, senator berkenaan yang juga Ahli Lembaga Pengarah sebuah universiti tempatan lain merupakan penceramah jemputan program tersebut.
Ujarnya, selepas sesi ceramah dan bergambar tamat, dia menegur senator berkenaan sebagai tanda hormat sebelum seorang pimpinan tertinggi universiti memaklumkan bahawa beliau merupakan cucu kepada Allahyarham Tok Guru Nik Aziz.
“Dalam perbualan tersebut, berlaku perbincangan berkaitan Pas dan saya mendakwa beliau telah mengeluarkan kenyataan yang mengkritik parti itu.
“Tidak lama kemudian, secara tiba-tiba beliau telah menampar pipi kiri saya menggunakan tangan kanannya. Tamparan itu tidak menyebabkan kecederaan fizikal yang jelas, namun cukup kuat sehingga kepala dan muka saya bergerak ke sebelah kanan akibat impak tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Nik Alif berkata, kejadian itu berlaku di hadapan beberapa pengurusan tertinggi universiti yang berada berhampiran lokasi kejadian.
Katanya, dia tidak membalas tindakan tersebut kerana menghormati senator berkenaan sebagai individu yang lebih berusia.
“Saya juga merasakan tindakan tersebut telah menyentuh maruah keluarga saya, khususnya sebagai waris kepada Tok Guru Nik Aziz yang merupakan tokoh agama dan pemimpin yang dihormati ramai,” ujarnya.
Nik Alif berkata, selepas kejadian itu senator berkenaan mengajaknya makan bersama, namun pelawaan tersebut ditolak sebagai tanda protes.
“Saya juga berasa maruah diri serta keluarga saya telah tercalar akibat kejadian tersebut.
“Jadi…saya membuat laporan ini bagi mempertahankan maruah keluarga Allahyarham Tok Guru Nik Aziz daripada sebarang penghinaan atau layanan yang menjatuhkan kehormatan keluarga kami,” ujarnya.
Sementara itu bapanya, Abdul Ariffahmi Abd Rahman ketika dihubungi berkata, Nik Alif sudah selesai memberikan keterangan berhubung kejadian tersebut di IPD Kota Bharu.
Katanya, selepas itu Nik Alif hadir ke Balai Bentong, Pahang untuk memberikan keterangan.
“Nik Alif Aiman berada dalam keadaan sedih, terkilan kerana dia merupakan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan diperlakukan sedemikian,” ujarnya.-UTUSAN










