Penghuni Rumah Bonda beri keterangan senada ikut `skrip' -

Penghuni Rumah Bonda beri keterangan senada ikut `skrip’

SITI Bainun Ahd Razali hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes mengabai dan menganiaya remaja sindrom Down, Bella. UTUSAN/MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Empat penghuni Rumah Bonda termasuk pengasasnya Siti Bainun Ahd Razali memberi keterangan yang senada seolah-olah mengikut `skrip’ berhubung insiden tertumpah air panas sehingga mencederakan remaja sindrom Down dikenali sebagai Bella, tahun lalu.

Inspektor Suhaili Mahad memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini, keterangan itu berkaitan kejadian seorang penghuni bernama Balqis yang mengejar Bella kerana berebut jajan menyebabkan remaja sindrom Down itu tertarik termos hingga terjatuh dan air panas tersimbah pada badannya.

Pengawai penyiasat itu berkata, termos berkenaan ketika diperiksa oleh polis tidak menunjukkan sebarang kesan pecah menyebabkan beliau membuat kesimpulan bahawa termos itu sebenarnya tidak terjatuh.

“Jadi saya percaya apa yang disampaikan berhubung kejadian termos tertumpah itu tidak berlaku,” ujarnya pada sesi pemeriksaan utama yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas.

Ujar Suhaili, pihak polis yang merampas dua barang kes iaitu termos dan tali putih dari kediaman Siti Bainun mendapati termos itu berada dalam keadaan baik dan tiada kesan menunjukkan ia terjatuh.

Selain itu, saksi pendakwaan ke-19 berkata, seorang penghuni lain bernama Yasmin Nahar Mahmood, 19, turut memberitahu seorang lagi pegawai polis bahawa kejadian itu berdasarkan `skrip’ bagi memudahkan mereka memberi penerangan kepada pihak polis ketika peringkat awal siasatan.

Menurut Suhaili, bagaimanapun, hasil temu bual dengan seorang doktor yang merawat Bella mengesahkan kecederaan yang dialaminya adalah kecederaan baharu dan lama.

Pada 30 Mei lalu, Yasmin ketika memberi keterangan mengakui bahawa kecederaan melecur yang dialami Bella adalah disebabkan tumpahan air termos dan bukannya daripada mesin penapis air.

Yasmin bersetuju dengan cadangan peguam Nurul Hafidzah Hassan yang mewakili Siti Bainun bahawa Bella bermain dengan termos itu yang berada di bilik dobi sebuah kondominium di Wangsa Maju sebelum air termos tertumpah dan terkenanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung esok.

Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia didakwa melakukan perbuatan di sebuah kondominium di Wangsa Maju, antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya